Rangkaian siaran tempatan, SUKE TV, telah memulakan penyiaran secara langsung untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia mulai minggu ini.
Rangkaian yang diasaskan oleh ikon hiburan, Datuk AC Mizal akan menyiarkan program beli-belah tempatan yang menampilkan selebriti, pempengaruh dan usahawan tempatan di mana penonton boleh membeli-belah secara langsung sambil menonton televisyen, 24 jam sehari di myFreeview, rangkaian penyiaran digital tanpa langganan untuk televisyen yang pertama di Malaysia.
Antara program yang disiarkan adalah SUKECeleb, program perdana SUKE TV yang menampilkan selebriti menjual produk mereka kepada penonton; serta SUKEHati, program beli-belah dari rumah yang melibatkan peniaga tempatan memasarkan produk mereka.
Melalui inisiatif-inisiatif seperti ini, SUKE TV berhasrat memerkasa pangkalan pelanggan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di seluruh negara melalui saluran TV percuma, sambil mencipta aliran pendapatan baharu untuk penghibur tempatan yang terjejas oleh pandemik.
SUKE TV juga menyediakan sebuah platform baru untuk peminat berinteraksi dengan mana-mana selebriti pujaan mereka.
Dengan infrastruktur yang luas, kepakaran dan perkongsian industri yang akan datang, SUKE TV menyasarkan pembangunan dan penyampaian kandungan asli dalam semua genre untuk penonton televisyen dan medium digital semasa Malaysia dalam masa nyata.
Sejak tahun lalu, SUKE TV telah menjayakan pelbagai perkongsian, terutamanya perjanjian pembiayaan dengan Malaysian Debt Ventures (MDV), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MOF); dan baru-baru ini, SUKE TV juga telah menjalinkan kerjasama dengan MRANTI Nexus, sebuah entiti penyelidikan dan pembuatan kontrak di bawah kumpulan syarikat Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
SUKE TV kini boleh ditonton secara percuma di saluran MYTV 116.
-NIAGATIMES