Sunway Group merancang meneroka penggunaan teknologi pengangkutan autonomi, logistik tanpa pemandu dan penerbangan elektrik menerusi kerjasama dengan tiga syarikat teknologi antarabangsa, iaitu WeRide, Neolix dan AutoFlight.
Presiden Sunway Group, Datuk Anuar Taib berkata, inisiatif berkenaan berpotensi dilaksanakan dalam rangkaian perbandaran bersepadu serta pelbagai sektor perniagaan kumpulan itu.
Beliau mengumumkan rancangan tersebut pada Transport Expo Asia (TXA) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 20 hingga 22 Okt.
Antara inisiatif utama ialah cadangan memperoleh dan menguji dua bas autonomi elektrik sepenuhnya keluaran WeRide di laluan BRT-Sunway, yang telah menerima kelulusan bersyarat Kementerian Pengangkutan bagi pelaksanaan percubaan.
Jika berjaya, teknologi itu berpotensi diperluas kepada perkhidmatan pengangkutan ulang-alik di kawasan pembangunan Sunway, sekali gus meningkatkan kekerapan perjalanan dan tempoh operasi bagi memenuhi keperluan pengguna.
Sunway turut merancang bekerjasama dengan Neolix bagi mengedarkan kenderaan logistik autonomi di Malaysia. Kenderaan tanpa pemandu itu berpotensi digunakan untuk penghantaran jarak akhir serta pemindahan barangan dan bekalan perubatan antara fasiliti.
Dalam sektor penerbangan pula, kumpulan itu sedang meneliti cadangan memperoleh dan menguji pesawat elektrik berlepas serta mendarat secara menegak (eVTOL) keluaran AutoFlight, di samping kemungkinan menjadi pengedar pesawat berkenaan di Malaysia.
Kerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia akan diteroka bagi mengenal pasti potensi penggunaan teknologi itu dalam logistik udara, tindak balas kecemasan dan, pada masa depan, pengangkutan penumpang, tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal serta kelulusan kawal selia.
Menurut Anuar, kepelbagaian perniagaan Sunway merangkumi 13 bahagian, termasuk hartanah, pembinaan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan hospitaliti, menyediakan platform untuk menguji serta menerapkan teknologi mobiliti dalam situasi sebenar.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan dan kualiti hidup masyarakat, malah berpotensi memperluas pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta penyertaan syarikat tempatan dalam industri baharu.
Sunway melihat mobiliti autonomi, logistik pintar dan penerbangan elektrik sebagai antara teknologi yang berpotensi mengubah pergerakan manusia serta barangan di bandar dan kawasan sekitarnya.
-NIAGATIMES




















































