SUV IT SOLUTION JIWA BISNES SUVITHAN

Syarikat teknologi maklumat, SUV IT Solution yang ditubuhkan sejak Oktober 2017 di Pulau Pinang hanya bermula dengan khidmat reka laman web dan menjual komputer secara kecil-kecilan. Namun kegigihan pemiliknya, Suvithan Raju Suresh Kumar, dalam menaikkan potensi syarikat diusahakannya tanpa mengenal putus asa ternyata berjaya meletakkan SUV IT Solution di mata dunia setelah memasuki pasaran di beberapa negara Asia iaitu Singapura, India dan China.

“Saya telah bertungkus-lumus untuk masuk dalam pasaran teknologi ini walaupun beberapa kali mengalami kegagalan. Untuk mencapai tahap standard ke pasaran ini bukanlah mudah. Puas saya ikhtiarkan bermacam-macam cara untuk kuasai pasaran ini,” katanya.

Suvithan menceritakan betapa dia hanya bermula dengan berjalan kaki, naik turun ke merata-rata tempat bagi mempromosikan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan syarikatnya. Menurutnya, itulah merupakan titik perubahan perniagaan yang menjadi imej syarikat SUV IT Solution dalam pasaran teknologi.

“Saya bertemu ramai orang dan itulah yang menjadi kekuatan syarikat ini meraih kepercayaan atas perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Masa berganti masa, saya dapati semakin ramai bilangan pelanggan kami. Tidak kurang juga jumlah pelawat di laman web kami yang semakin tinggi.

“Lantas saya membuat keputusan untuk menambah perkhidmatan dan jualan di SUV IT Solution dengan membuat pelan penjenamaan semula kepada syarikat ini sebagai ‘1 Stop Information Technology Company’ yang akan lebih bersifat mesra pelanggan,” jelasnya.

Respons positif yang ditunjukkan pelanggan membuatkan Suvithan semakin ligat merancakkan perniagaan miliknya. Baginya, ia umpama dorongan untuk dirinya melihat ruang bisnes dalam skala yang lebih besar dan peluang dia melangkah lebih jauh.

“Selagi ada permintaan, pasti akan saya turutkan. Saya gerakkan syarikat ini untuk turut aktif terlibat dengan import dan eksport barang-barang komputer.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, kan? Semangat saya dan rasa enggan mengalah dahulu kini telah menaikkan SUV IT Solution tersenarai antara 10 syarikat teratas bagi komputer dan teknologi dalam kalangan pasaran teknologi tempatan,” katanya yang juga merupakan pengasas SUV Group Of Companies.

Walaupun dikenali sebagai salah sebuah syarikat yang banyak bantu membangunkan ratusan laman web syarikat lain, Suvithan enggan mendabik dada. Dia mendedahkan betapa pentingnya perancangan perniagaan untuk jangka panjang lebih-lebih lagi di saat pandemik Covid-19 melanda dunia ketika ini.

“Saya telah membuat perancangan untuk mengembangkan syarikat ini ke beberapa lokasi lagi di luar negara. Malah, pasukan saya juga giat menaik taraf akses laman e-dagang syarikat kami.

“Elemen maju dalam bidang teknologi dengan kemas kini perisian Revolusi Industri 4.0 akan diterapkan di platform e-dagang pada laman web kami kelak. Nak tahu apa yang menarik daripada kami? Nantikan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.