Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini memperkenalkan model utiliti sukan (SUV) terbaharu, Perodua Traz, bagi melengkapkan rangkaian kenderaan SUV syarikat itu dalam usaha memenuhi keperluan pengguna bandar dan keluarga muda.
Ditawarkan sebagai SUV lima tempat duduk, Traz diposisikan di antara model Ativa dan Aruz, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan tempatan. Model berkenaan dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM76,100 hingga RM82,000.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat menyasarkan jualan sekitar 1,900 unit sebulan bagi model itu, berdasarkan permintaan pasaran terhadap SUV bersaiz sederhana yang praktikal dan menjimatkan.
“Traz dibangunkan berlandaskan konsep kemudahan penggunaan dengan pendekatan ‘Engineered Simplicity’, selari dengan keutamaan pemandu Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran model itu hari ini.
Beliau berkata pembangunan Traz melibatkan kos kira-kira RM563.3 juta dan ia dipasang di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Choh, Rawang, dengan kadar kandungan tempatan mencecah 95 peratus.
Menurutnya, pengenalan Traz dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi pendaftaran kenderaan Perodua bermula 2026, manakala penghantaran kepada pelanggan di Semenanjung Malaysia akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Dari segi prestasi, Traz menggunakan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi yang digandingkan dengan transmisi D-CVT, iaitu teknologi CVT berkonsep ‘split gear’ yang menggabungkan sistem tali sawat dan gear bagi meningkatkan kecekapan mekanikal serta kelancaran pemanduan.
Transmisi itu turut menawarkan tujuh nisbah maya dalam mod manual serta pilihan mod pemanduan Eco, Normal dan Sport. Kecekapan bahan api dicatatkan sehingga 21.3 kilometer seliter mengikut Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.
SUV berkenaan dibangunkan menggunakan platform sama dengan Toyota Yaris Cross bagi pasaran ASEAN, dengan ukuran panjang 4,310 milimeter, lebar 1,770 milimeter dan jarak roda 2,620 milimeter, menjadikannya lebih besar daripada Ativa tetapi lebih kompak berbanding Aruz.
Dengan berat sekitar 1,150 kilogram bagi varian tertinggi, struktur ringan Traz menyokong kestabilan pemanduan serta membantu mencapai penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk pintu belakang berkuasa dengan sensor tendang, corong penyaman udara untuk penumpang belakang, brek cakera pada keempat-empat roda, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, kamera parkir 360 darjah serta perakam video papan pemuka.
Varian X dilengkapi lampu hadapan LED automatik dengan fungsi ‘follow me home’, lampu belakang LED, cermin sisi boleh lipat automatik serta rim aloi dua tona bersaiz 17 inci.
Perodua Traz ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Cranberry Red, Electric Blue dengan bumbung hitam, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey.
Walaupun tidak ditawarkan dengan sistem hibrid atau varian AV, Perodua menjelaskan pendekatan spesifikasi tersebut bertujuan mengekalkan harga kompetitif serta memastikan kedudukan Traz kekal berbeza daripada Toyota Yaris Cross di pasaran tempatan.
Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi bilik pameran Perodua berhampiran bagi sesi pandu uji dan tempahan.
-NIAGATIMES






















































