Swasta diminta bantu aspek keselamatan perniagaan, infrastruktur e-dagang

0
1

Pihak swasta perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkukuh sektor e-dagang di negara ini dengan membantu aspek keselamatan perniagaan, kemudahan infrastruktur dan kefahaman masyarakat.

Pengarah Kanan Teknologi Korporat Mimos Berhad, Nor Ezam Selan berkata selain itu penyedia platform e-dagang seharusnya menyakinkan pembeli mengenai aspek keselamatan melibatkan proses tempahan, transaksi pembayaran dan penghantaran produk kepada pembeli. “Mereka juga perlu memastikan platform perniagaan sentiasa dikemaskinikan dan dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu transaksi,” katanya ketika ditemui Bernama di Technology Park Malaysia Bukit Jalil, semalam.

Beliau berkata dari sudut kemudahan infrastruktur, pihak swasta boleh membantu kerajaan dalam menyediakan sesuatu yang mampu meningkatkan kebolehpasaran produk yang dijual dalam talian.

Ia termasuk menyediakan kemudahan logistik yang dapat memastikan penghantaran produk dilakukan lebih lancar, selamat serta capaian jarak lebih luas, katanya.

Beliau berkata berhubung kefahaman masyarakat, swasta boleh menjalankan kempen atau apa sahaja pendekatan yang berupaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kelebihan e-dagang.
-BERNAMA