Syarikat inovasi Hong Kong catat 200 padanan niaga di Dubai

Sebanyak 22 syarikat teknologi dari Hong Kong menyertai dua acara inovasi utama di Dubai, GITEX Global dan Expand North Star, yang berlangsung dari 12 hingga 17 Oktober baru-baru ini dalam usaha memperluas jaringan antarabangsa dan meneroka peluang di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan.

Delegasi berkenaan yang diketuai oleh Hong Kong Science and Technology Parks Corporation (HKSTP) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC) berjaya menjana lebih 200 padanan perniagaan strategik antara syarikat teknologi Hong Kong dan rakan antarabangsa.

HKSTP dalam kenyataan memaklumkan bahawa penyertaan ini mencerminkan kekuatan Hong Kong sebagai hab inovasi dan teknologi global yang berpotensi menjadi pintu masuk kepada pasaran Asia untuk rakan niaga dari Timur Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif HKSTP, Terry Wong berkata perluasan ekosistem inovasi global adalah penting bagi syarikat pemula yang bercita-cita ke peringkat antarabangsa.

“Ekosistem inovasi HKSTP dan pertumbuhan pesat hab inovasi dan teknologi Hong Kong Greater Bay Area membolehkan syarikat Timur Tengah menembusi pasaran Asia melalui laluan yang lancar dan berpotensi menjangkau lebih 2.3 bilion pengguna,” katanya.

Antara syarikat yang diketengahkan dalam misi ini termasuk Robocore yang menawarkan penyelesaian robotik canggih untuk sektor penjagaan kesihatan, warga emas dan peruncitan, serta i2Cool yang membangunkan teknologi cat penyejukan tanpa tenaga yang boleh digunakan dalam pelbagai industri seperti pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui.

Turut serta ialah eSix yang menyediakan penyelesaian rangkaian 5G industri dan Metro Ethernet maya dengan liputan ultra jauh sehingga 80 kilometer.

Syarikat Comba Telecom pula mengorak langkah strategik di rantau ini dengan memeterai kerjasama bersama Nedaa iaitu penyedia komunikasi khas di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memperkukuh teknologi komunikasi masa depan termasuk liputan dalaman dan luaran serta pembangunan rangkaian 5G.

HKSTP turut memaklumkan bahawa lebih 10 syarikat dari taman teknologi berkenaan akan menyertai edisi kesembilan Forum Pelaburan Masa Hadapan di Riyadh Arab Saudi pada penghujung bulan ini.

Ditubuhkan pada 2001 HKSTP kini menaungi lebih 2500 syarikat teknologi dari 26 negara dan wilayah serta menyokong lebih 15000 profesional penyelidikan termasuk dalam bidang teknologi kesihatan kecerdasan buatan dan bandar pintar.

HKSTP mengendalikan beberapa lokasi utama seperti Hong Kong Science Park di Pak Shek Kok dan InnoCentre di Kowloon Tong serta tiga InnoPark moden di Tai Po Tseung Kwan O dan Yuen Long.

-NIAGATIMES

HKSTP.jpg