Expo 2020 Dubai semalam menyaksikan tiga perjanjian persefahaman (MoU) bernilai lebih RM100 juta ditandatangani di antara tiga syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan tiga rakan niaga yang berpotensi dari Emiriah Arab Bersatu UAE.
MoU yang berjaya dicapai adalah antara syarikat Propeasy Sdn. Bhd dan Mahaley Marketing; Fario Holdings Sdn Bhd dan Miko Koffie NV of Belgium serta Govicle Sdn Bhd dan Six Day Company LLC.
Ketiga-tiga syarikat tempatan ini merupakan sebahagian daripada 17 syarikat permulaan dan PKS Malaysia berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Expo 2020 Dubai – Minggu PKS Malaysia.
Minggu PKS Malaysia di Expo 2020 Dubai diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensi pelaksana iaitu SME Corp yang memfokuskan kepada syarikat permulaan dan PKS di dalam memacu pembangunan ekonomi negara melalui syarikat berteraskan inovasi.
Turut serta dalam delegasi ini ialah SME Bank Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad menyatakan penglibatan MEDAC di Expo 2020 Dubai merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia dalam membangkitkan semula peranan syarikat permulaan dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongan dan kerjasama dengan pelabur dan rakan perniagaan berpotensi.
“Ini akan membantu di dalam mempertingkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global,” katanya.
Dalam hubungan ini, 17 syarikat permulaan dan PKS berprestasi tinggi dari Malaysia telah terpilih untuk diperkenalkan kepada rakan perniagaan global yang berpotensi di Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai.
Fokus industri yang diketengahkan melalui syarikat permulaan dan PKS pada kali ini adalah Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Inovasi; Perubatan dan Kesihatan; dan Perkhidmatan berkaitan Dron.
-NIAGATIMES