Syarikat-syarikat tempatan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diseru meningkatkan kemahiran dan kemampuan dalam mengeluarkan produk kritikal, iaitu produk yang menjadi permintaan ramai bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk-produk import dari luar negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penguasaan syarikat-syarikat tempatan terhadap pembuatan dan pengeluaran bagi produk makanan dan minuman, alatan perubatan, ubat-ubatan, petrokimia serta kelengkapan perlindungan peribadi seperti sarung tangan dan pelitup muka secara tidak langsung bukan sahaja meningkatkan produktiviti perniagaan masing-masing malah turut menjana ekonomi negara.
“Apabila negara mempunyai keupayaan tersebut, maka kita mampu mengurangkan aliran keluar mata wang Malaysia dan seterusnya meningkatkan eksport barangan tempatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia Tahun 2020 peringkat kebangsaan di kompleks beli-belah Suria KLCC, kelmarin.
Tambah Muhyiddin, perubahan komuniti perniagaan yang kini beralih kepada penggunaan teknologi digital dengan lebih meluas juga menunjukkan isyarat positif.
“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 79,274 PKS dilaporkan telah memanfaatkan platform e-dagang. Jumlah ini melebihi sasaran kerajaan untuk melatih 50,000 PKS dalam setahun.
“Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan penjualan runcit dalam talian yang menggambarkan perkembangan aktiviti e-dagang turut mencatat peningkatan sebanyak 39.3 peratus pada bulan Mei 2020, berbanding bulan Mei 2019.
“Aktiviti e-dagang juga telah melonjak sebanyak 9.3 peratus berbanding April 2020,” katanya.