Synology perkenal solusi pengurusan data dan trend keselamatan terkini

Peneraju global dalam solusi pengurusan data dan keselamatan, Synology menganjurkan sidang media memperkenalkan solusi pengurusan data terkini di Kuala Lumpur sempena Hari Sandaran Sedunia pada 31 Mac.

Pada acara tersebut, Synology telah memberi tumpuan kepada landskap dan kaedah-kaedah pengurusan data yang kian canggih serta beberapa trend keselamatan, terutamanya di Malaysia.

“Synology telah berjaya mencapai pertumbuhan pasaran yang memberansangkan iaitu sebanyak 50 peratus. Pencapaian yang mengkagumkan pada tahun lepas ini telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan daripada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro.

“Lonjakan permintaan untuk solusi sandaran dari Synology telah meningkat lebih 20 peratus. Ini boleh dikaitkan dengan kemunculan Malaysia sebagai pusat dan hab data yang semakin terkemuka di rantau ini. Pertumbuhan ini juga telah didorong oleh inisiatif kerajaan negara ini yang menggalakkan perniagaan untuk memperuntukkan sebahagian besar daripada belanjawan teknologi maklumat (IT) mereka ke arah keselamatan data,” kata Jason Sin, Pengurus Negara, Synology Malaysia.

Program yang dianjurkan Synology memberi penjelasan dengan lebih jelas mengapa perniagaan mikro perlu mengamalkan pengurusan data secara lebih teliti. Ia juga juga sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) di Malaysia.

Synology turut menerangkan bagaimana solusi sandarannya mampu menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti keperluan tadbir urus termasuk protokol pemberitahuan pelanggaran data, hak subjek data pengurusan, dan pelantikan Pegawai Perlindungan Data (DPO) dalam kes tertentu.

Tambah Sin, landskap pengurusan data dan keselamatan kian berkembang pesat dan perniagaan mikro perlu berada seiring dengan trend untuk memastikan syarikat-syarikat perniagaan patuh kepada undang-undang dan melindungi maklumat atau data yang sensitif.

“Acara kami bertujuan untuk memberikan pandangan bagaimana trend dan teknologi terkini membentuk industri, memperkasakan perniagaan agar syarikat perniagaan dapat melindungi data mereka dengan lebih berkesan,” jelasnya.

-NIAGATIMES

Synology-Malaysia.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.