Tadbir urus syariah TEKUN Nasional dikelola jawatankuasa baharu

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) telah melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Syariah baharu bagi memantapkan lagi tadbir urus syariah di bawah agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu.

MEDAC dalam kenyataan berkata, barisan Jawatankuasa Syariah TEKUN Nasional yang baharu ini diketuai oleh Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri Chik yang telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah TEKUN Nasional.

“Manakala ahli-ahli lain adalah Profesor Madya Dr. Azman Mohd Noor dari Institute of Islamic Banking & Finance (IiiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Madya Dr. Kamaruzaman Noordin dari Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Syed Abdullah Syed Nordin,” katanya.

Sementara itu, Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ahli-ahli baharu yang dilantik ini terdiri daripada kalangan tokoh yang berintegriti, komited dan dihormati di pelbagai peringkat serta mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam undang-undang syariah dan kewangan Islam.

“Saya percaya, mereka ini berupaya untuk memperkasakan kewibawaan Jawatankuasa Syariah TEKUN Nasional dan seterusnya akan memberi lebih keyakinan kepada usahawan yang komited untuk melaksanakan perniagaan sejajar dengan prinsip-prinsip syariah.

“Selain itu, penawaran produk pembiayaan yang patuh syariah ini turut menguntungkan usahawan kerana ia lebih telus dengan tiadanya caj-caj tersembunyi,” jelasnya.

TEKUN Nasional telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada juru perunding pembiayaan patuh syariah iaitu Syariah Centre of Excellence Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 2017.

Sehingga kini semua produk pembiayaan TEKUN yang ditawarkan kepada para usahawan adalah patuh syariah sepenuhnya.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.