Talian Kecemasan HRXpert perkasa pengurusan sumber manusia PMKS

Majikan kini mempunyai saluran untuk mendapatkan panduan awal secara percuma berhubung isu pengurusan pekerja menerusi pengenalan Talian Kecemasan HR oleh HRXpert.

Inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang tidak mempunyai jabatan sumber manusia (HR) sendiri, mengendalikan permasalahan pekerja dengan lebih teratur dan selaras dengan undang-undang pekerjaan.

Antara isu yang boleh dirujuk termasuk masalah disiplin, ketidakhadiran, prestasi kerja, penggajian, penamatan perkhidmatan serta prosedur yang perlu dipatuhi sebelum tindakan diambil terhadap pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif HRXpert, Dr (HC) Norazlina Abdullah berkata, kekurangan pemahaman mengenai prosedur dan peraturan pekerjaan boleh menyebabkan majikan berdepan pertikaian serta risiko tindakan undang-undang.

Beliau berkata, walaupun majikan menyedari sesuatu kesalahan dilakukan pekerja, tindakan yang diambil perlu berasaskan prosedur sewajarnya bagi memastikan keputusan dibuat secara adil dan saksama.

“Melalui Talian Kecemasan HR, majikan boleh mendapatkan panduan awal sebelum membuat keputusan, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan dalam mengendalikan isu berkaitan pekerja,” katanya.

Bagi memperkukuh kepakaran perkhidmatan itu, HRXpert turut melantik mantan Pengarah di Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Haji Hussain Ali Meah, sebagai Penasihat Utama.

Pengalaman beliau dalam bidang perundangan pekerjaan dan perhubungan perusahaan dijangka menyumbang kepada usaha menyediakan panduan pengurusan pekerja yang lebih berkesan kepada majikan.

Selain khidmat panduan awal percuma, HRXpert turut menyediakan konsultasi profesional bagi kes yang memerlukan penelitian lanjut, termasuk semakan dokumen, penyediaan surat rasmi dan pengendalian tindakan disiplin. Sebarang bayaran akan dimaklumkan terlebih dahulu mengikut keperluan serta skop perkhidmatan.

Norazlina berkata, pengurusan sumber manusia yang sistematik bukan sahaja membantu memastikan pematuhan peraturan, malah penting untuk melindungi kepentingan perniagaan dan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni.

Bagaimanapun, talian berkenaan berfungsi sebagai saluran panduan awal dan bukan pengganti kepada nasihat perundangan khusus. Respons juga tertakluk kepada waktu operasi HRXpert.

Majikan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi 019-404 3821 atau 012-783 6774, menghantar e-mel kepada inquiry@hrxpert.com.my.

-NIAGATIMES