Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensi berkaitan telah bersetuju untuk memberikan moratorium kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mendapat pembiayaan di bawah MEDAC berikutan bencana banjir yang melanda negara sehingga mengakibatkan banyak perniagaan usahawan terjejas.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, tawaran moratorium tersebut adalah melibatkan pinjaman melalui agensi di bawah MEDAC seperti Bank Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Bank dan SME Corp.
“Bank Rakyat memberi penangguhan kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan.
“Penangguhan ini melibatkan mereka yang meminjam dengan Bank Rakyat melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-I dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Noh, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga memberi moratorium kepada usahawan yang terkesan dengan banjir selama enam bulan bergantung kepada sejauh mana kesan banjir dihadapi oleh usahawan.
“Agensi MEDAC iaitu SME Bank pula memberi pengecualian sewaan selama dua bulan kepada mana-mana penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank yang terjejas akibat bencana banjir.
“SME Bank juga menawarkan penjadualan semula kepada semua usahawan terkesan dengan banjir dan menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan enam bulan moratorium,” jelasnya.
Tambah Noh, SME Corp seterusnya menawarkan tiga pakej pembiayaan iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme for Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PMKS terjejas banjir.
“Tawaran ini untuk semua sektor ekonomi dan layak untuk membeli peralatan, baik pulih premis perniagaan dan dana modal permulaan perniagaan.
“Pakej-pakej ini diberi moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan.
“Untuk peserta tiga program sedia ada ini juga akan diberikan moratorium sehingga enam bulan sehingga Jun 2022,” ujarnya.
-NIAGATIMES