Teks ucapan berikut merupakan petikan pembentangan Belanjawan 2019 bagi inti pati Fokus Ketiga: Memupuk Budaya Negara Keusahawanan yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat semalam:

“Tuan Yang Dipertua,

Suatu ekosistem baharu harus diwujudkan supaya rakyat Malaysia dapat memenuhi potensi mereka. Pertumbuhan ekonomi yang mampan dan dinamik boleh digalakkan melalui sebuah negara keusahawanan yang inovatif dan kreatif, serta melalui ekonomi baharu dan ekonomi digital.

Model negara keusahawanan menggunakan kerjasama 4P yang merangkumi, dengan izin, Public, Private, Profesional dan People, atau sektor awam, sektor swasta, golongan profesional dan rakyat, untuk membangun dan mengurus sesuatu projek. Projek tersebut akan dibiayai bersama oleh keempat-empat pihak, tetapi ia akan diuruskan oleh pihak swasta atau profesional yang bertanggungjawab kepada pihak Kerajaan dan juga rakyat.

Strategi Kesembilan: Mencetuskan Kuasa Ekonomi Baharu

Tuan Yang Dipertua,

Memupuk Ekonomi Digital

Bagi menyokong perkembangan teknologi baharu dan memastikan usahawan Malaysia mempunyai pembiayaan konvensional atau alternatif yang mencukupi, Kerajaan bercadang untuk mengambil langkah-langkah berikut:

PERTAMA: Dana-dana modal teroka yang diurus agensi Kerajaan seperti Malaysia Technology Development Corporation, Malaysia Debt Ventures Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd, Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd akan diselaraskan. Bagi memastikan dana disalurkan kepada syarikat berpotensi tinggi sahaja, geran padanan Kerajaan hanya akan diberikan kepada syarikat yang dapat menarik pelaburan daripada sektor swasta.

KEDUA: Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan akan menyediakan RM2 bilion geran padanan untuk melabur dalam dana ekuiti swasta (private equity) dan dana modal teroka (venture capital funds) bagi menyokong pelaburan khusus kepada sektor strategik terpilih yang tumbuh pesat.

KETIGA: Kerajaan bercadang menumbuhkan Co-Investment Fund (CIF) atau Dana Pelaburan Bersama berjumlah RM50 juta untuk melabur bersama dengan pihak swasta melalui platform pembiayaan alternatif seperti ekuiti dana penjanaan masyarakat dan pinjaman terbuka antara rakan setara atau dengan izin, peer-to-peer lending (P2P).

Suruhanjaya Sekuriti telah meluluskan rangka kerja untuk platform ekuiti dana penjanaan masyarakat dan Pinjaman P2P. Setakat ini, sebanyak RM170 juta dana telah dijana untuk 450 buah syarikat daripada pelbagai sektor melalui platform-platform ini. Hampir 10,000 individu yang telah melabur melalui platform pembiayaan alternatif ini, di mana 45% pelabur terdiri daripada golongan belia di bawah umur 35 tahun.

KEEMPAT: Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) bagi memperkenalkan rangka kerja baharu untuk melulus dan memantau aktiviti jual beli mata wang digital dan pasaran token akan diwartakan pada awal tahun 2019.

KELIMA: Untuk terus mempromosikan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran bon dan sukuk, Kerajaan mencadang layanan cukai seperti berikut:

• melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan kos tambahan apabila menerbitkan sukuk di bawah prinsip Ijarah dan Wakalah, serta perbelanjaan yang ditanggung syarikat semasa menerbitkan bon atau sukuk runcit untuk 3 tahun taksiran mulai tahun taksiran 2019; dan

• menubuhkan jawatankuasa khas bagi kewangan Islam yang diketuai Kementerian Kewangan dan dianggotai Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

KEENAM: Bagi menggalakkan penghasilan filem di Malaysia yang bertaraf antarabangsa, Kerajaan akan meneruskan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dengan peruntukan RM30 juta. Sebagai tambahan, Khazanah akan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk FIMI yang khusus bagi penerbitan filem di studio Pinewood di Iskandar Johor.

KETUJUH: Untuk menggalakkan perkembangan ekonomi digital, Kerajaan akan melaksanakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion. Pelan ini bertujuan membangunkan infrastruktur jalur lebar dalam usaha memastikan pengagihan spektrum dilaksanakan dengan lebih efektif. Di samping itu, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi disasarkan mencapai 30 Mbps di kawasan luar bandar serta kawasan terpencil dalam tempoh 5 tahun bagi membolehkan Malaysia mencapai infrastruktur bertaraf dunia dengan harga yang berpatutan. Kerajaan juga akan menguatkuasakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang dijangka akan menurunkan harga jalur lebar talian tetap sekurangnya 25% pada hujung tahun 2018.

Lonjakan Industri 4.0

Tuan Yang Dipertua,

Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 atau Industry4WRD baru-baru ini berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan industri berteknologi tinggi. Bagi menyokong visi tersebut, langkah-langkah berikut akan memperkenalkan:

PERTAMA: Memperuntukkan RM210 juta bagi tahun 2019 hingga 2021 untuk menggalakkan peralihan kepada Industri 4.0. Perbadanan Produktiviti Malaysia akan menjalankan program Readiness Assessment untuk membantu 500 buah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) beralih kepada teknologi Industri 4.0.

KEDUA: Sistem rujukan Knowledge Resource for Science & Technology Excellence (KRSTE.my) akan diwujudkan untuk memangkin perkongsian sumber penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kerajaan antara sektor swasta dan akademik dengan sumber dan fasiliti yang sedia ada. Menjelang 2019, Kerajaan akan memberi sektor swasta akses kepada 250 fasiliti dan 1,200 peralatan saintifik serta data penyelidikan. Tambahan lagi, satu Program Pemetaan-Penyelidik akan diperkenalkan untuk menempatkan sekurang-kurang 100 ahli penyelidik dengan sektor swasta di mana kos penempatan akan dibiayai oleh Kerajaan.

KETIGA: Bagi menggalakkan PKS membuat pelaburan dalam automasi dan pemodenan yang merupakan komponen Industri 4.0, sebanyak RM2 bilion akan disediakan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di mana Kerajaan akan memberikan jaminan pembiayaan sehingga 70%.

KEEMPAT: Selain itu, Kerajaan melalui BPMB akan menyediakan dana Transformasi Pendigitalan Industri (Industry Digitalisation Transformation Fund) dengan saiz dana RM3 bilion dengan insentif subsidi kadar faedah 2%. Dana ini bertujuan merancakkan industri untuk menerap teknologi pintar merangkumi robotik dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).

KELIMA: MIDA melalui Dana Impak Tinggi (High Impact Fund) akan terus menyediakan geran padanan untuk menggalakkan inisiatif Industri 4.0. Ini akan merangkumi aktiviti seperti R&D, penerimaan sijil dan piawaian antarabangsa, serta pemodenan fasiliti dan peralatan dengan teknologi yang terkini.

KEENAM: Khazanah Nasional Berhad akan membangunkan 80 ekar tanah di Subang sebagai hab aeroangkasa bertaraf dunia. Khazanah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, terutamanya MARA dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

Kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kemahiran tenaga kerja berkaitan Industri 4.0 dengan memberikan potong cukai dua kali bagi:

• Biasiswa yang diberi oleh syarikat kepada pelajar di peringkat teknikal dan vokasional, diploma serta ijazah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi;

• Perbelanjaan yang dibuat oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional bagi Industri 4.0 yang diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia atau MIDA; dan

• Perbelanjaan syarikat yang melaksanakan program latihan berstruktur bagi pelajar-pelajar kejuruteraan dan teknologi yang diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Strategi 10: Merebut Peluang Dalam Menghadapi Cabaran Global

Tuan Yang Dipertua,

Malaysia sudah pasti terkesan akibat perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China, memandangkan kedua-dua negara ini adalah antara 3 rakan dagang utama Malaysia. Namun, konflik perdagangan ini telah mewujudkan peluang unik, di mana Malaysia menjadi tumpuan sebagai tapak perlindungan selamat atau dengan izin “safe haven” untuk pelaburan pembuatan.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah Malaysia terus berjaya menarik pelaburan pada kadar yang memberangsangkan. Dari bulan Januari hingga Ogos 2018, jumlah pelaburan bernilai RM61.6 bilion telah diluluskan, satu peningkatan daripada nilai pelaburan RM40.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan nilai kelulusan pelaburan sebanyak RM49.8 bilion, atau kira-kira 81% daripada jumlah pelaburan. Sebanyak 411 projek yang telah diluluskan ini dijangkakan dapat menjana lebih daripada 34,000 peluang pekerjaan di seluruh negara. Ini membuktikan keyakinan para pelabur di Malaysia tidak terjejas selepas Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu.

Dalam laporan Doing Business Report 2019 oleh Bank Dunia yang diterbitkan minggu ini, Malaysia telah melonjak dari tempat ke-24 ke tempat ke-15 di peringkat global. Bagi memperkasakan lagi tahap daya saing serta memudahkan lagi urusan perniagaan di Malaysia, atau dengan izin, the ease of doing business, Kementerian Kewangan dan MITI akan menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Menteri untuk memacu agenda reformasi kawal selia, khususnya dalam penambahbaikan proses perdagangan dan pentadbiran cukai. Kita akan memberikan isyarat kepada dunia bahawa Malaysia adalah mesra pelabur dan dengan izin, “we are open for business”.

Bagi meningkatkan pelaburan oleh syarikat sedia ada dalam aktiviti Hab Prinsipal, adalah dicadangkan galakan cukai sedia ada ditambah baik kepada pengenaan cukai pendapatan pada kadar konsesi 10% ke atas keseluruhan pendapatan statutori berkaitan aktiviti Hab Prinsipal bagi tempoh 5 tahun.

Memperkukuh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)

Tuan Yang Dipertua,

PKS merangkumi 98.5% daripada jumlah perniagaan di Malaysia dan merupakan nadi pertumbuhan ekonomi negara. Bagi memastikan PKS terus berkembang maju dan berdaya saing khususnya bagi industri utama, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

PERTAMA: Dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60% jaminan SJPP termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

KEDUA: Bagi syarikat yang berpendapatan bercukai sehingga RM500,000 dan PKS dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta, kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan daripada 18% kepada 17%.

KETIGA: Menggalakkan eksport menerusi pembiayaan oleh EXIM Bank dengan menawarkan kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS berjumlah RM2 bilion.

KEEMPAT: Memperuntukkan RM100 juta bagi menambahbaik keupayaan industri PKS dalam industri halal untuk meningkatkan eksport dan seterusnya merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi hab halal global menjelang 2020.

KELIMA: Menyediakan Skim Pembiayaan PKS patuh Shariah berjumlah RM1 bilion disediakan terutamanya untuk membiayai pengeksport produk halal oleh institusi kewangan Islam dengan Kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak 2%.

KEENAM: Permodalan Usahawan Nasional Berhad juga akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera. Selain itu, RM100 juta akan diperuntukkan kepada TEKUN untuk membiayai usahawan kecil.

KETUJUH: Menyediakan RM20 juta untuk pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia” untuk menyokong produk dan perkhidmatan tempatan. Kempen ini akan dilaksanakan di peringkat akar-umbi bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan untuk mendapatkan akses ke hypermarket, gedung membeli-belah dan ekspo perdagangan. Kementerian Kewangan akan memastikan produk dan perkhidmatan tempatan seperti peranti perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa akan mendapat akses yang sama dalam proses perolehan Kerajaan.

Demi memastikan penaiktarafan syarikat tempatan diteruskan, Kerajaan komited untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan sistem levi berperingkat (tiered levy system) di mana caj levi lebih tinggi dikenakan kepada majikan yang mempunyai jumlah pekerja asing yang lebih tinggi.

Kekurangan pekerja dalam bidang pertanian dan perladangan, dan kemerosotan harga komoditi pertanian telah menjejaskan hasil sektor tersebut. Kerajaan akan membantu sektor ini dengan mengurangkan kadar levi lanjutan bagi pekerja asing yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun daripada RM10,000 setahun bagi setiap pekerja kepada RM3,500.

Memudahkan Aktiviti Logistik dan Pengangkutan

Tuan Yang DiPertua,

Sektor logistik dan pengangkutan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara, memandangkan eksport dan pembuatan merupakan antara tunjang utama ekonomi Malaysia. Kerajaan akan memperuntukkan RM2.46 bilion bagi kerja menaik taraf dan memulihara landasan kereta api untuk mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan negara.

Kerajaan komited memacu pembangunan dan pertumbuhan projek Zon Sempadan Khas Ekonomi Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah sebagai pintu gerbang strategik bagi aktiviti perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Thailand. Bagi pelaksanaan peringkat awal projek ini yang merangkumi pembangunan truck depot, peruntukan sebanyak RM25 juta akan disediakan.

Kerajaan bercadang untuk menjadikan tanah seluas 380 ekar di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas untuk menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang. Zone Bebas baru ini akan menjadi sambungan kepada Port Klang Free Zone (PKFZ). Tanah ini akan dimajukan melalui kaedah penswastaan atau usahasama dengan sektor swasta.

Menambah Nilai Kepada Sektor Komoditi

Tuan Yang Dipertua,

Kelapa sawit dan getah adalah antara komoditi utama yang menyumbang kepada ekonomi negara. Di samping itu, ia juga memberikan sumber pendapatan kepada pekebun kecil. Bagi meningkatkan permintaan kelapa sawit dan menambahbaik kelestarian penggunaan sumber tenaga, Kerajaan akan melaksanakan Program Biodiesel B10 (campuran 10% kandungan minyak kelapa sawit) bagi sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri pada tahun 2019. Selain itu, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu semua pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan persijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Bagi industri getah pula, Kerajaan komited untuk membantu meningkatkan kepelbagaian penggunaan getah tempatan dalam produk-produk industri dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Sebagai contoh, Kerajaan akan memperluas penggunaan getah tempatan sebagai bahan campuran dalam pembinaan jalan raya bagi meningkatkan daya ketahanan jalan di samping mengurangkan kos penyelenggaraan. Kerajaan menyasarkan penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) terutamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat. Untuk tujuan ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan.

Selain itu, Kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil. Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.

Bagi sektor pertanian, Kerajaan akan memperuntukkan:

• RM47 juta untuk R&D bagi meningkatkan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan;

• RM18 juta untuk automasi industri agromakanan; dan

• RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani termasuk bagi menarik penglibatan golongan muda menceburi sektor agromakanan.

Mempergiat Industri Pelancongan

Tuan Yang Dipertua,

Industri pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% daripada KDNK atau RM201.4 bilion pada tahun 2017. Memandangkan kepentingan sektor ini dalam menjanakan hasil matawang asing, Kerajaan akan menitikberatkan sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020.

Untuk menyokong hasrat ini, geran sepadan RM100 juta akan disediakan kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa untuk meningkatkan angka ketibaan pelancong.

Kerajaan akan memberi kemudahan bebas cukai kepada kedai bebas cukai di Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan kapal persiaran. Untuk mempertingkatkan potensi pelancongan Pulau Pangkor, Kerajaan komited untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai untuk merealisasikan potensi sebenar pulau tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia. Taraf Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan juga diperkembangkan lagi.

Bagi menyokong usaha Kerajaan negeri menggiatkan aktiviti pelancongan, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan perkongsian 50% hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang diterima di negeri berkenaan. Langkah ini akan membolehkan Kerajaan negeri menerima hasil tambahan yang secara agregat dianggarkan berjumlah RM50 juta.

Dana Tabung Pelancongan PKS RM500 juta disediakan oleh SME Bank dengan Kerajaan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2%. Ini akan membantu pengusaha kraftangan dan homestay untuk meluaskan perniagaan mereka.

Khazanah akan menerajui projek kerjasama awam swasta bagi program pemuliharaan dan pembugaran Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur untuk menjadikan bangunan ikonik ini sebagai pusat kesenian, kebudayaan dan warisan. Projek penjanaan semula bandar ini akan diusahakan bersama dengan syarikat warisan tempatan, ThinkCity, dan sebuah pertubuhan antarabangsa yang diiktiraf dengan UNESCO.

Pelancongan kesihatan di Malaysia terus mendapat pengiktirafan negara luar. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Tourism Council (MHTC) untuk menjalinkan usahasama dengan hospital swasta yang terkemuka bagi menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang terpilih dan seterusnya meningkatkan kadar pertumbuhan untuk sektor pelancongan kesihatan sebanyak 25% untuk tahun 2019.

Strategi 11: Mendefinisi Semula Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan tidak harus menceburi diri dalam perniagaan. Dengan izin, “The business of the Government is not to be in business.” Jelas sekali syarikat-syarikat milik kerajaan bersaing secara langsung dengan syarikat swasta dalam sektor tidak strategik. Ini mengakibatkan fenomena menghimpit sektor swasta atau “crowding out” di mana syarikat swasta tidak mampu berkembang dan bersaing secara sihat.

Demi kejayaan ekonomi keusahawanan, pihak swasta mesti mengambil peranan yang lebih besar dalam menerajui pertumbuhan ekonomi. Kementerian Kewangan akan menerajui Pasukan Petugas Khas untuk menilai peranan dan fungsi badan berkanun dan syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi mengurangkan pertindihan fungsi serta mengelakkan Kerajaan bersaing secara langsung dengan pihak swasta. Kerajaan akan menumpukan perbelanjaan dan pelaburan ke dalam sektor-sektor strategik di mana pasaran terbuka dan pihak swasta tidak berminat atau tidak dapat memenuhi keperluan rakyat.

Sektor swasta akan menyumbangkan kepakaran, kualiti perkhidmatan dan pelaksanaan sementara pihak Kerajaan pula menyumbangkan kapasiti, sumber dan infrastruktur sedia ada. Sebagai contoh, institusi latihan TVET boleh menawarkan kursus-kursus yang dikendalikan oleh pihak swasta supaya ia memenuhi keperluan industri. Kerajaan pula boleh menawarkan infrastruktur sedia ada yang jarang digunakan, atau “underutilised” sebagai prasarana yang boleh dikongsi. Konsep ini juga boleh diaplikasikan untuk Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara bagi mengurangkan perbelanjaan Kerajaan.

Strategi 12: Memastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Saksama Dan Mampan

Tuan Yang Dipertua,

Malaysia sememangnya mampu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi sekiranya pertumbuhan ekonomi adalah saksama, terangkum dan mampan kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Memastikan Pembangunan Seimbang

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, pembangunan seimbang diseluruh negara akan diberi penekanan, terutamanya di kawasan luar bandar. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik dan meningkatkan kemudahan asas terutama di luar bandar dengan inisiatif berikut:

PERTAMA: Membina dan menaiktaraf jalan raya, jalan luar bandar dan jambatan dengan peruntukan RM926 juta.

KEDUA: Meluaskan akses bekalan elektrik dan air di luar bandar dengan peruntukan RM694 juta dan RM738 juta masing-masing.

KETIGA: Memperuntukkan RM85 juta untuk kampung baharu bagi tujuan menaiktaraf dan memulihara infrastruktur asas seperti jalan raya, dewan komuniti dan kawasan lapang.

KEEMPAT: Memperuntukkan RM100 juta untuk menyokong komuniti India, termasuk latihan teknikal dan kemahiran untuk meningkatkan peluang kerjaya belia India.

KELIMA: Memperuntukkan RM100 juta untuk memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli melalui pembinaan dan menaiktaraf infrastruktur bagi bekalan air, penempatan semula, pendidikan, kebajikan dan pembangunan ekonomi.

KEENAM: Memperuntukkan RM20 juta untuk persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bagi tujuan menjalankan aktiviti komuniti, keselamatan, pembersihan dan program kejiranan.

KETUJUH: Bagi penempatan FELDA, Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi menaiktaraf jalan, RM160 juta bagi projek sistem bekalan air, RM35 juta bagi projek membina dan naiktaraf bangunan serta projek pemasangan lampu jalan. Ini adalah peningkatan sebanyak 51% berbanding peruntukan tahun lepas.

Kerajaan akan memastikan Sabah dan Sarawak terus dibangunkan. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5,009 juta untuk Sabah berbanding RM4,133 juta pada tahun 2018. Bagi Sarawak pula, RM4,346 juta telah diperuntukkan berbanding RM4,336 juta pada 2018.

Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak tertakluk kepada kajian rasionalisasi kos. Di samping itu, projek di Sabah dan Sarawak akan merangkumi pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan, serta pembangunan koridor ekonomi masing-masing.

Wanita dalam Tenaga Kerja

Tuan Yang Dipertua,

Kadar semasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja hanya berada pada paras 53.5% bagi tahun 2017 berbanding dengan 77.7% bagi lelaki. Daripada jumlah yang tidak bekerja, 60% atau 2.6 juta wanita memaklumkan bahawa bebanan kerja di rumah adalah sebab utama mereka tidak menyertai pasaran kerja.

Berdasarkan laporan yang baharu diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah, jika tahap penyertaan wanita dalam tenaga kerja ditingkatkan sebanyak 30%, ianya akan meningkatkan KDNK Malaysia antara 7% hingga 12%. Oleh itu, Kerajaan akan merangka dasar untuk menggalakkan penyertaan wanita terlibat dalam pasaran kerja seperti berikut:

PERTAMA: Peruntukan RM10 juta disediakan untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan Kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja. Kerajaan juga akan terus menggalakkan dan memberi insentif kepada sektor swasta ke arah memastikan peluang pekerjaan yang saksama bagi wanita.

KEDUA: Kerajaan komited ke arah meningkatkan penglibatan wanita di peringkat kepimpinan selaras dengan sasaran 30% daripada pembuat dasar dan keputusan. Kerajaan juga telah mencatat sejarah melantik seorang wanita sebagai Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri di samping 4 Menteri wanita. Pada masa ini, hampir 36% daripada penjawat awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah terdiri daripada wanita.

KETIGA: Kerajaan akan menggalakkan penglibatan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan sektor swasta kerana hanya 23.2% wanita menjadi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia. Oleh itu, syarikat swasta disarankan untuk meningkat penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan, ke arah mencapai sasaran 30% menjelang tahun 2020.

Alam Sekitar dan Tenaga untuk Masa Depan

Tuan Yang DiPertua,

Kerajaan komited untuk mengambil langkah yang perlu bagi memelihara alam sekitar sebagai satu tanggungjawab dan khazanah yang perlu diwariskan kepada generasi yang akan datang. Memandangkan kawasan perlindungan hutan atau marin adalah di bawah pentadbiran negeri, Kerajaan bercadang memberi peruntukan RM60 juta kepada negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu.

Kerajaan akan mengambil langkah untuk memastikan dua Taman Negara iaitu Taman Hutan Selangor FRIM dan Taman Diraja Royal Belum Perak disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kerajaan akan menyediakan bantuan geran mikro sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan program pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar yang diterajui komuniti setempat dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) ke arah meningkatkan pembangunan ekonomi bagi masyarakat Orang Asli dan Orang Asal.

Ke arah menangani pencemaran sisa plastik dan menarik pelaburan dalam aktiviti yang mesra alam, Kerajaan menawarkan insentif Taraf Perintis sebanyak 70% atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60% untuk tempoh 5 tahun bagi syarikat yang menghasilkan plastik mesra alam berasaskan bio-resin dan bio-polimer.

Bagi terus menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau, dana sebanyak RM2 bilion akan disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dengan Kerajaan menampung subsidi kadar faedah 2% bagi tempoh lima tahun pertama.

Di samping itu, BPMB akan menyediakan Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan berjumlah RM1 bilion bertujuan menyokong Agenda 2030 pembangunan mampan serta 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah UNDP. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan memberi insentif subsidi kadar faedah sebanyak 2%.

Selain itu, bagi terus menggalakkan penggunaan teknologi hijau, Kerajaan akan memperluaskan aset hijau yang layak mendapat insentif elaun pelaburan teknologi hijau (GITA) daripada 9 jenis aset kepada 40 jenis aset yang akan disenaraikan di dalam direktori MyHijau.”

LGE2.png