Teks ucapan Belanjawan 2020: Inti pati keusahawanan dan perniagaan

0
32

Teks ucapan berikut merupakan petikan pembentangan Belanjawan 2020 bagi inti pati melibatkan keusahawanan dan perniagaan yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat semalam:

TERAS PERTAMA: MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI DALAM EKONOMI BAHARU DAN ERA DIGITAL

Strategi 2: Mempercepat Ekonomi Digital

Tan Sri Yang Dipertua,

Membina Infrastruktur Digital

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melonjakkan Malaysia ke era teknologi maklumat dan komunikasi melalui penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996. Kini, kita sedang memasuki era digital. Kerajaan komited ke arah transformasi digital.

Dalam tempoh setahun ini, reformasi kawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) telah berjaya mengurangkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus dan mencetuskan anjakan permintaan pengguna untuk rangkaian internet yang lebih pantas. Bank Dunia telah memuji kejayaan Kerajaan dalam mempercepatkan purata kelajuan jalur lebar kepada tiga kali ganda dalam tempoh hanya setahun.

Pada masa ini, Kerajaan akan membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun yang akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi yang komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar. Pelan ini akan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM21.6 bilion melalui kerjasama awam swasta. Kerajaan melalui SKMM akan membiayai lebih separuh daripada pelaburan yang diperlukan dengan pelaburan oleh sektor swasta dalam bidang telekomunikasi melalui geran padanan.

Sebagai sebahagian daripada NFCP, Kerajaan akan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam agenda digital negara. SKMM akan memperuntukkan RM250 juta untuk menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit.

Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM210 juta untuk mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutamanya sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti hab taman perindustrian. Keutamaan akan diberikan kepada lokasi di negeri yang dapat memudahkan dan mempercepat pelaksanaan NFCP.

Membina Aplikasi Digital

Kesungguhan melaksanakan NFCP adalah penting dalam memperkenalkan teknologi dan perkhidmatan 5G kepada rakyat. Bagi menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat Malaysia untuk menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia, yang 100 kali lebih pantas berbanding 4G, Kerajaan akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.

Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan untuk menggalakkan lebih banyak projek perintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri, teknologi blockchain serta produk dan perkhidmatan lain yang memanfaatkan pelaburan dalam infrastruktur gentian optik dan 5G.

Kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi. Misalnya, pendapatan industri permainan video dunia melebihi USD150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital.

Membangunkan Syarikat Digital

Bagi membangunkan Digital Malaysia, Kerajaan memerlukan penyertaan pihak swasta. Untuk tujuan ini, lebih banyak PKS Malaysia perlu menerima pakai langkah pendigitalan untuk operasi syarikat, termasuk Sistem Jualan Elektronik (e-POS), Perencanaan Sumber Daya Perusahaan (ERP) dan Sistem Pembayaran Gaji Elektronik. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan 50 peratus geran padanan dengan jumlah sehingga RM5 ribu untuk melanggan perkhidmatan tersebut. Geran padanan ini berjumlah RM500 juta untuk tempoh selama lima tahun, dan dihadkan kepada 100 ribu PKS pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka.

Bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran produk, Kerajaan akan memperuntukkan RM550 juta bagi menyediakan geran padanan Automasi Pintar kepada seribu syarikat pembuatan dan seribu syarikat perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan. Geran ini diberikan secara padanan sehingga RM2 juta bagi setiap syarikat.

Kerajaan bercadang untuk menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutamanya PKS sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Sejumlah RM70 juta akan diperuntukkan kepada MDEC untuk menubuhkan pusat-pusat ini sebagai tambahan kepada program ‘100 Go Digital’. Kerajaan bercadang untuk mewujudkan tiga perpustakaan digital baharu di Kedah, Perak dan Johor bertujuan menggalakkan perkongsian pengetahuan dan pendidikan melalui kandungan digital.

Cradle Fund melalui Program Bimbing dan Pupuk (Coach and Grow Programme) telah melahirkan ramai usahawan teknologi berimpak tinggi melibatkan 469 syarikat dengan penjanaan hasil sebanyak RM2.3 bilion, termasuk RM300 juta yang telahpun dieksport. Oleh itu, sebagai komitmen berterusan Kerajaan untuk menggalakkan inovasi di peringkat awal, Kerajaan akan menyediakan RM20 juta untuk Cradle Fund bagi tujuan latihan dan geran untuk program ini.

Membina Masyarakat Digital

Bagi memastikan kemakmuran bersama dengan syarikat digital yang berjaya, Kerajaan akan memperkenalkan konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR). DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan. Untuk tujuan ini, sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberikan potongan cukai.

Di samping itu, sebanyak RM10 juta akan disediakan kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi bagi memanfaatkan e-Marketplaces dan platform media sosial. Seramai 100 daripada usahawan mikro-digital ini, yang majoritinya terdiri daripada wanita dan belia, telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM23 juta dalam tempoh hanya enam bulan sekaligus mengubah kehidupan mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf potensi tinggi e-Sukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020. Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila pada bulan Disember 2019.

Tan Sri Yang Dipertua,

Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai. Berdasarkan Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) 2011 hingga 2020, Malaysia boleh menjimatkan kira-kira satu peratus daripada KDNK setiap tahun dengan beralih sepenuhnya kepada e-Bayaran. Pada tahun 2018, jumlah urus niaga pembayaran mudah alih meningkat 20 kali ganda kepada lebih 34 juta transaksi berbanding kurang daripada 2 juta transaksi pada tahun 2017. Akan tetapi, laporan kajian Nielsen pada Januari tahun ini mendapati penerimaan keseluruhan e-Dompet masih rendah pada hanya lapan peratus.

Bagi mempercepat transformasi ke arah peningkatan penggunaan e-Dompet dalam masyarakat dan peniaga, terutamanya perusahaan perniagaan kecil dan runcit untuk menerima bayaran digital, Kerajaan akan menawarkan rangsangan digital secara one-off bernilai RM30 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100 ribu. Apa yang diperlukan hanyalah akaun e-Dompet dengan identiti yang disahkan melalui penyedia perkhidmatan yang terpilih. Rangsangan digital secara one-off bagi setiap orang boleh ditebus dan digunakan untuk tempoh dua bulan bermula 1 Januari 2020 dan akan tamat pada 29 Februari 2020. Kerajaan akan memperuntukkan sehingga RM450 juta kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan insentif ini yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

Strategi 3: Memperkukuh Akses kepada Pembiayaan Perniagaan

Tan Sri Yang Dipertua,

Untuk memudahkan akses kepada pembiayaan untuk PKS dalam segmen utama, Kerajaan akan membuat penambahbaikan terhadap Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan (SJPP). Bagi PKS Bumiputera, PKS yang berorientasikan eksport serta PKS yang melabur dalam automasi dan digital, jaminan Kerajaan akan dinaikkan daripada 70 peratus kepada 80 peratus. Sebagai tambahan, yuran jaminan turut dikurangkan kepada hanya 0.75 peratus. SJPP juga menyediakan kemudahan jaminan baharu sebanyak RM500 juta untuk usahawan wanita.

Bagi terus menyokong usahawan Bumiputera baharu, SME Bank akan memperkenalkan dua dana baharu di mana Kerajaan akan menyediakan subsidi kadar faedah dua peratus setahun bagi mengurangkan kos pinjaman seperti berikut:

Pertama: Peruntukan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS; dan

Kedua: Peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau. Untuk tujuan ini, keutamaan akan diberikan kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi.

Peruntukan sebanyak RM10 juta akan disediakan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan bagi memberi tumpuan kepada khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform untuk industri tempatan bersaing di pasaran halal antarabangsa yang kini dianggarkan bernilai USD3 trilion.

Bagi membolehkan PKS kekal berdaya saing, mereka perlu terus meningkatkan eksport. Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan siling setiap syarikat bagi inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dari RM200 ribu kepada RM300 ribu setiap tahun. Pada masa yang sama, siling untuk penyertaan dalam setiap pameran eksport juga akan ditingkatkan dari RM15 ribu kepada RM25 ribu. Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk menggalakkan PKS menyertai lebih banyak aktiviti promosi.

Dalam era fintech, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memuktamadkan rangka kerja pelesenan untuk bank digital yang akan diterbitkan menjelang akhir tahun ini untuk konsultasi awam. Rangka kerja akhir akan dimuktamadkan dan dibuka untuk permohonan pada separuh pertama 2020.

Kerajaan akan terus menyokong dan menggalakkan inovasi kewangan digital baharu seperti platform Equity Crowdfunding (ECF) dan Peer-to-Peer (P2P). Secara kolektif, lebih RM430 juta telah dijana sehingga Jun tahun ini yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 PKS. Atas kejayaan awal ini, Kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta kepada My Co-Investment Fund (MyCIF) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memanfaatkan platform sebegini kepada PKS yang sukar mendapat akses pembiayaan.

Bagi terus menggalakkan penyediaan sumber dana alternatif kepada syarikat baharu serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia, galakan cukai bagi modal teroka dan pelabur mangkin (angel investor) dilanjutkan sehingga tahun 2023.

Bagi memangkin dan menggalakkan pembiayaan kepada konsortium pembinaan yang membida projek dan konsesi di luar negara, Kerajaan akan menyediakan RM1 bilion dalam bentuk jaminan padanan dengan nisbah satu kepada lima untuk dana ekuiti swasta khusus untuk melabur dalam konsortium Malaysia tersebut.

Untuk menyokong pembangunan usahawan Bumiputera, geran sebanyak RM445 juta akan diberikan dari segi akses kepada pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan. Ini termasuklah:

Pertama: RM150 juta untuk semua program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB);

Kedua: RM75 juta untuk membina kapasiti PKS Bumiputera oleh SME Corp, yang merangkumi program untuk meningkatkan pemasaran, pembungkusan dan celik kewangan;

Ketiga: RM170 juta untuk akses pembiayaan melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB); dan

Keempat: RM50 juta untuk program keusahawanan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kerajaan akan terus menyokong projek strategik menerusi program pembiayaan di bawah Bank Pembangunan Malaysia (BPMB), yang menawarkan subsidi faedah dua peratus setahun melalui:

Pertama: Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan yang ditingkatkan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion;

Kedua: Dana Maritim & Logistik bernilai RM1 bilion; dan

Ketiga: Dana Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM2 bilion yang kini akan menyokong pelaksanaan projek kesalinghubungan digital.

Berbanding pentadbiran dahulu yang memberikan pinjaman kepada peniaga kecil melalui koperasi yang berunsurkan politik, pentadbiran Pakatan Harapan mengasingkan unsur politik daripada pembiayaan, dengan menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina. Pembiayaan ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah empat peratus setahun.

Bagi usahawan etnik India, Kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India juga dengan kadar faedah empat peratus setahun.

Penstrukturan Semula Institusi Kewangan Pembangunan (DFI)

Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) memainkan peranan penting sebagai institusi awam dalam menyokong matlamat pembangunan negara untuk memenuhi keperluan ekonomi baharu. Untuk mengukuhkan ekosistem ini, Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia mencadangkan pelan penstrukturan semula DFI dengan menubuhkan institusi kewangan baharu dalam dua fasa melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia, Danajamin Nasional, SME Bank dan Bank Eksport-Import Malaysia.

Mengembangkan Kewangan Islam

Untuk tahun ini, Kementerian Kewangan telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan dengan objektif utama untuk menggalak dan membangunkan ekosistem kewangan Islam. Dalam meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam, Jawatankuasa ini akan:

Pertama: Merangka Blueprint Ekonomi Islam yang melibatkan semua agensi berkaitan; dan

Kedua: Menganjurkan inisiatif ‘outreach’ dan kursus profesional untuk meningkatkan kefahaman mengenai Kewangan Islam di seluruh negara.

Selain itu, potongan cukai bagi kos penerbitan dan potongan cukai tambahan bagi kos tambahan penerbitan sukuk di bawah prinsip Wakalah akan dilanjutkan untuk tempoh lima tahun sehingga tahun taksiran 2025.

Bagi terus mempromosikan aktiviti pengurusan dana Islam serta dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment atau SRI), pengecualian cukai kepada syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana patuh Syariah dan dana SRI serta potongan cukai ke atas kos penerbitan Sukuk SRI dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga tahun taksiran 2023.

Strategi 4: Mengukuhkan Kepelbagaian Ekonomi

Tan Sri Yang Dipertua,

Demi mencapai kepelbagaian ekonomi (economic diversity) untuk memperluaskan asas pertumbuhan, langkah spesifik akan dilaksanakan dalam empat bidang iaitu ekonomi hijau, pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelancongan.

Pertumbuhan Hijau dan Tenaga untuk Masa Depan

Sebagai salah satu langkah untuk pembukaan pasaran bekalan elektrik, Kerajaan akan melaksanakan peralihan daripada sistem berasaskan mekanisma Power Purchase Agreement (PPA) kepada sistem pasaran terbuka. Penjana elektrik berasaskan tenaga boleh diperbaharui dapat bersaing secara langsung di pasaran runcit. Pasaran elektrik yang lebih telus dan terbuka akan dapat memastikan kos elektrik yang lebih kompetitif untuk pengguna Malaysia.

Kerajaan berhasrat untuk merangka dasar yang berkaitan untuk mencapai sasaran negara bagi menjana 20 peratus penggunaan tenaga daripada tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025. Pada Belanjawan 2019, Kerajaan telah memperluaskan senarai aset hijau yang layak untuk Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) di bawah direktori MyHijau. Untuk Belanjawan 2020, Kerajaan akan melanjutkan galakan GITA dan Pengecualian Cukai Pendapatan bagi Perkhidmatan Teknologi Hijau (GITE) sehingga 2023. Di samping itu, galakan cukai akan turut diperkenalkan kepada syarikat yang melaksanakan aktiviti pajakan tenaga suria (solar leasing) dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus untuk tempoh sehingga 10 tahun.

Melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC), pelaburan modal awal bagi peralatan penjimatan tenaga untuk bangunan Kerajaan akan dibayar balik melalui penjimatan kos utiliti yang dicapai. Pada tahun 2020, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan EPC untuk bangunan Kerajaan, dengan mengutamakan hospital dan institusi pendidikan.

Memajukan Pertanian

Kerajaan amat prihatin terhadap kesan harga komoditi yang rendah ke atas mata pencarian rakyat, khususnya pekebun kecil. Dalam masa yang sama, Kerajaan kecewa dan hampa dengan kempen anti-minyak sawit yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat. Kerajaan berhasrat untuk menyokong industri ini dengan langkah-langkah berikut:

Pertama: Kerajaan telah melancarkan dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah dua peratus setahun. Tempoh pinjaman adalah selama 12 tahun termasuk tempoh moratorium selama empat tahun ke atas pembayaran balik. Penanaman semula akan dijalankan menggunakan teknik semaian terkini serta mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran yang lebih baik;

Kedua: Kerajaan akan memperuntukkan RM27 juta untuk menyokong usaha Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam meluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa dan menangani kempen anti-minyak sawit; dan

Ketiga: Untuk meningkatkan penggunaan biodiesel, penggunaan Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2020. Ini dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500 ribu tan setahun.

Kerajaan memahami akan kesukaran yang disebabkan oleh harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS). Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

Di samping itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), seperti berikut:

Pertama: RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka;

Kedua: RM300 juta untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka;

Ketiga: RM100 juta bagi bekalan air FELDA;

Keempat: RM70 juta untuk perumahan generasi baru peneroka FELDA; dan

Kelima: RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.

Belanjawan 2020 juga akan menyediakan RM738 juta untuk RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300 ribu pekebun kecil RISDA dan 100 ribu peserta FELCRA.

Di samping itu, Kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

Elaun Sara Hidup Nelayan akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020.

Tan Sri Yang Dipertua,

Dalam usaha membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

Kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani. Bagi menyokong inisiatif ini, Kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani.

Bagi meningkatkan hasil padi, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma.

Akhir sekali, Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.