Teks ucapan Pelan Pemulihan Negara

Teks ucapan berikut merupakan petikan Perutusan Khas: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bangunan Perdana Putra, hari ini:

“Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Saya berharap saudara-saudari dapat terus menjalani kehidupan seharian dengan aman dan sejahtera.

Pada 28 Mei yang lalu, Kerajaan telah memutuskan untukmelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021 dan telah dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

PKP secara menyeluruh untuk Fasa Pertama ini dilaksanakan setelah mengambil kira penularan kes COVID-19 dalam komuniti, kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi yang mengancam keupayaan sistem kesihatan awam negara kita.

Selain itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih dalam peringkat awal pelaksanaannya di samping bekalan vaksin yang dijangka akan lebih stabil mulai bulan Jun ini.

Keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh ini telah berjaya mengelakkan berlakunya peningkatan kes-kes baharu secara lebih mendadak atau exponential surge of new cases. Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian COVID-19 di negara kita mencecah lebih 13,000 kes pada hari ini dan seluruh sistem kesihatan kita akan runtuh.

Namun Alhamdullilah, dengan pelaksanaan PKP Fasa Pertama ini kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes COVID-19 telah mula menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan di negara kita.

Sistem kesihatan negara kita juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi. Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil. We have avoided a catastrophe.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Keputusan melaksanakan PKP ini bukanlah sesuatu yang mudah. Dari segi ekonomi, negara kita kehilangan RM1 bilion ringgit sehari sepanjang PKP dilaksanakan pada masa ini. Saya telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit. Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan.

Namun, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini.

Pada hari ini, saya ingin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.

Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian.

Ia juga mengambil kira ancaman COVID-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.

Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhatihati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.

Di samping itu, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kita lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kita melaksanakan PKP buat kali pertama di mana kita masih belum mempunyai vaksin. Satu-satunya jalan keluar pada masa itu ialah lockdown dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan.

It was a very painful situation because continuous lockdowns badly affected our livelihoods and yet we did not know exactly when and how we are able to get out of the woods.

Namun hari ini, dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak, kita telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong.

Pada permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kadar vaksinasi adalah sekitar 5 ribu hingga 8 ribu dos sehari dan telah meningkat ke 50 ribu hingga 80 ribu sekitar bulan Mei. Malah semalam, kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang.

Kita bukan sahaja sudah berjaya memberikan vaksinasi kepada hampir kesemua frontliners, malahan lebih 50 peratus daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama, dan kita akan terus mengutamakan golongan rentan COVID-19 yang lain seperti mereka yang mempunyai komorbiditi, dan seterusnya mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Terkini, kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak anak kita yang berusia 12 hingga 17 tahun.

Sememangnya, perkembangan positif kadar vaksinasi harian ini memberi keyakinan kepada Kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat kita jayakan bersama. Ini kerana, lebih ramai yang dilindungi dengan vaksinasi, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh kita laksanakan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka, dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik, insya-Allah.

Dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan tindakan kesihatan awam yang masih diteruskan, saya percaya jumlah kes harian COVID-19 akan terus mencatatkan penurunan. Pengalaman negaranegara lain yang telah meningkatkan kadar vaksinasi di negara masing-masing juga telah menunjukkan penurunan kes-kes harian baharu yang ketara. Ini pastinya akan memudahkan kita untuk melaksanakan pelan pemulihan negara yang komprehensif.

Strategi Pelan Pemulihan Negara ini merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat. Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

INDIKATOR PERTAMA ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian;

INDIKATOR KEDUA ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan

INDIKATOR KETIGA ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Kerajaan akan menimbang peralihan daripada FASA PERTAMA kepada fasa kedua PKP setelah:

● Purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes;

● Sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan

● 10 peratus populasi telah menerima 2 dos suntikan vaksin.

Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat. SEMASA FASA KEDUA:

● Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis;

● Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor; dan

● Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah. Semasa Fasa 2, dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

FASA KETIGA pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

Kita boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang atau threshold berikut, iaitu:

● Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes;

● Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi; dan

● 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021.

Semasa Fasa Ketiga ini:

● Semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian;

● Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti Fasa Kedua; dan

● Aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

Untuk Fasa 3, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti. Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan. Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi.

Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat. Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok. Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19.

Daripada Fasa Ketiga, kita akan dapat beralih kepada FASA KEEMPAT sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu:

● Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes;

● Sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi; dan

● 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.

Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, Kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke Fasa seterusnya.

Kesemua SOP bagi fasa-fasa yang saya sebutkan tadi akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan diumumkan dalam masa terdekat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya sering menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang. Sabar dulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dahulu.

InsyaAllah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat. Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin.

Alhamdulillah, setakat ini lebih 4.5 juta dos suntikan telah berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia di mana 3.2 juta telah menerima dos pertama dan 1.4 juta telah lengkap menerima dua dos vaksin. Insya-Allah selepas ini lebih ramai rakyat akan mendapat temujanji suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama setelah lebih banyak bekalan vaksin diterima mulai bulan ini.

Kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segeralah berbuat demikian di aplikasi MySejahtera. Sehingga kini, jumlah mereka yang telah berdaftar adalah seramai 13.8 juta. Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.

Sementara itu, kita mestilah terus bersabar dan berdisiplin. Amalkan disiplin kendiri yang tinggi walaupun sudah divaksinasi. Pakai pelitup muka di tempat awam, elakkan berada di tempat sesak, basuh tangan sentiasa dan pastikan anda sentiasa berada di ruang yang mempunyai pengudaraan yang baik.

Lebih tinggi disiplin kita menjaga SOP, lebih cepat kes-kes harian COVID-19 turun, lebih ramai daripada kita mendapat suntikan vaksin, insya-Allah lebih cepatlah kita mencapai imuniti kelompok dan dengan izin Allah s.w.t. kita akan dapat keluar daripada krisis yang sedang kita hadapi ini bersama-sama.

The more we exercise self-discipline by complying to the SOPs and get ourselves vaccinated, the sooner we can get out of this crisis.

Saya faham bahawa ramai daripada anda yang merasa gusar, takut dan terkesan teruk akibat pandemik ini baik dari segi fizikal mahupun emosi. Ada di antara anda yang kehilangan orang tersayang, berkurang punca pendapatan dan diselubungi keresahan yang berpanjangan.

Namun kita jangan sekali-kali mengalah. Kita perlu terus berjuang, bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini bersama-sama sebagai sebuah bangsa Malaysia yang cekal dan berhati kental.

Saya berjanji kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar, supaya dapat bersamasama kita keluar dari kemelut pandemik ini secepat mungkin.

We owe it to Malaysia, to fight the threats that this pandemic pose to our collective future together. We must remain steadfast and resolute in our commitment to fight and win this war on COVID-19. We must never waver, and defeat is just simply not an option.

It is my sincere hope that this National Recovery Plan will guide us cautiously, but progressively towards reclaiming our much treasured freedoms while doing all we can to protect the lives and livelihoods of Malaysians. I am cautiously optimistic that with proper planning, execution and support from all Malaysians, we can emerge victorious and stronger from this crisis.

Ultimately, the greatest lesson that COVID-19 can teach humanity is that we are all in this together. We are a strong nation and people who have proven our mettle in overcoming all past crises that have befallen us. We have a collective responsibility to each other and to our families and friends.

Akhirnya, kepada Allah jualah kita memohon pertolongan dan Dialah sebaik-baik pelindung.

Stay safe. Lindung Diri, Lindung Semua.
Teguh Kita, Menang Bersama.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.”

-NIAGATIMES

TSMY2.png

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.