Teks ucapan berikut merupakan petikan Pengumuman Khas: Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bangunan Perdana Putra, hari ini:
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Apa khabar semua?
Saya harap saudara dan saudari sihat wal-afiat.
Kini, genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19. Sepanjang tempoh ini, Kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.
Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.
Sehubungan itu, Kerajaan telah mengenal pasti 5 Fokus Utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.
PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA)
Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan akan melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai 20 bilion ringgit, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah 11 bilion ringgit.
PEMERKASA akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.
>> FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19 <> FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI <> FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA <> FOKUS KEEMPAT: MEMASTIKAN AGENDA KETERANGKUMAN <<
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, Kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas. Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.
INISIATIF KELIMABELAS: BANTUAN KEHILANGAN PENDAPATAN
Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut:
โข Bantuan tunai secara one-off sebanyak 500 ringgit diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan
โข Bayaran tambahan sebanyak 500 ringgit diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan 1,000 ringgit dan ke bawah.
Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.
Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.
Seterusnya, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021. Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.
INISIATIF KEENAMBELAS: MENAMBAHBAIK PROGRAM BANTUAN RENTAN BANDAR
Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar ini termasuk golongan gelandangan. Oleh yang demikian, DBKL telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.
Seterusnya, bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin yang tinggal di bandar, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai. Program ini dijangka akan memanfaatkan 300 ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.
Mengenai kesihatan rakyat pula, inisiatif mySalam berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran 40 juta ringgit. Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak 50 ringgit sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan oleh Pegawai Perubatan.
Selain itu, program klinik bergerak merupakan satu program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan khususnya golongan rentan bandar bagi memperkasakan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Pada masa ini, MyMedic@Wilayah di bawah DBKL menyediakan perkhidmatan klinik bergerak meliputi kawasan PPR dan perumahan awam kepada golongan yang kurang berkemampuan serta rawatan secara terus kepada pesakit kronik dan uzur yang terlantar di rumah. Sehubungan itu, sejumlah 30 juta ringgit akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti.
Seterusnya, dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik seramai 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
INISIATIF KETUJUHBELAS: PRIHATIN WANITA
Bagi memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, Kerajaan akan menyediakan dana 30 juta ringgit untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian. Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah 50 juta ringgit bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.
Selain itu, peruntukan sebanyak 10 juta ringgit dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.
INISIATIF KELAPANBELAS: PRIHATIN OKU
Saya telah dimaklumkan golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar ini. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Untuk tujuan ini, sebanyak 26 juta ringgit akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.
Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas,
Kerajaan bersetuju menambah 20 juta ringgit untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Di samping itu, golongan OKU akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.
BSN telah menyediakan sebanyak 25 juta ringgit di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit dan kadar faedah serendah 3 peratus.
INISIATIF KESEMBILANBELAS: PRIHATIN BELIA
Seterusnya buat anak muda,
Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa. Sukacita diumumkan bahawa program tersebut akan ditambahbaik dengan meningkatkan nilai kredit daripada 100 kepada 150 ringgit yang akan memanfaatkan 2 juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak 300 juta ringgit. Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.
Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar terlibat dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak 21 juta ringgit. Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.
Selain itu, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.
BSN juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah 3 peratus untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit.
INISIATIF KEDUAPULUH: PENERUSAN SUBSIDI BAGI MERINGANKAN KOS SARA HIDUP
Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.
Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter. Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai 3 bilion ringgit pada harga semasa.
Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG. Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kg pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong. Oleh itu, Kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah. Kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan.
PENUTUP
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Setelah setahun Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini, kami terus merencana pelbagai strategi pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Kami telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.
PEMERKASA dengan nilai keseluruhan 20 bilion ringgit adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.
Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan yang Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat. InsyaAllah, amanah ini akan sentiasa kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, demi rakyat dan negara.
Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan seluruh petugas barisan hadapan dan penjawat awam yang sekian lama berdiri teguh dan setia sebagai tunjang pentadbiran Kerajaan. Saya juga menyanjung tinggi peranan sektor korporat, NGO dan para sukarelawan yang turut menyumbang kepada bantuan kewangan dan bantuan sosial kepada rakyat.
Saya juga ingin menyeru saudara dan saudari supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Jangan bertangguh, terus daftar sekarang. Lebih cepat kita mendaftar dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan yang normal.
Lindung diri, lindung semua. Insha-Allah, kita terus berikhtiar dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Faiza 'azamta fa tawakkal 'ala Llah.
Teguh Kita, Menang Bersama.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
-NIAGATIMES