Teks ucapan sidang media Keperluan Membenarkan Sektor-Sektor Ekonomi Tambahan Beroperasi

0
48

Teks ucapan berikut merupakan petikan sidang media bagi Keperluan Membenarkan Sektor-Sektor Ekonomi Tambahan Beroperasi yang disampaikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Bangunan Perdana Putra, semalam:

Dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19, Kerajaan sentiasa memastikan kesihatan diberikan keutamaan tertinggi dan keselamatan rakyat terjamin. Justeru, Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memperkenalkan protokol penjagaan kesihatan yang komprehensif.

Pada masa yang sama, Kerajaan juga bertanggungjawab untuk menangani kesan ekonomi akibat daripada pandemik tersebut, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, Kerajaan mengambil langkah pro-aktif dan responsif bagi mengimbangi:

– kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat; dan
– memastikan kestabilan dan kelangsungan ekonomi dalam membendung pandemik COVID-19.

Sektor-sektor kritikal yang dibenarkan beroperasi bermula dari awal PKP sehingga kini adalah bagi memenuhi keperluan asas rakyat khususnya bekalan produk-produk seperti makanan dan minuman, perubatan dan farmaseutikal.

Langkah ini adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara, mengelakkan kehilangan pekerjaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia selain memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.

Kerajaan amat memahami bahawa sektor-sektor ekonomi yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP, akan menghadapi pelbagai cabaran seperti tekanan terhadap aliran tunai, kemampanan perniagaan, kehilangan pekerjaan. Industri tempatan dan syarikatsyarikat yang beroperasi di Malaysia juga bakal menghadapi risiko kehilangan pasaran eksport. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk menangani masalah ini melalui Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN.

MITI telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuanpersatuan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa serta Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi mengenalpasti dan memperhalusi sektorsektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langkah ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh. Jawatankuasa ini telah membentangkan beberapa cadangan kepada Jemaah Menteri pada 6 dan 8 April 2020.

Pembentangan ini telah mengambil kira maklum balas daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara, MITI dan Khazanah Nasional Berhad.

Jemaah Menteri telah bersetuju membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat. Sektor-sektor tersebut adalah:

– industri automotif;
– industri mesin dan peralatan;
– industri aeroangkasa;
– projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan;
– perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D);
– perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar;
– perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dalam pemborongan dan peruncitan;
– perkhidmatan dobi.

Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi WAJIB mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing. Kebenaran beroperasi ini juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan. Pematuhan ini adalah seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang PKP.

MITI telah mendapat garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat dari KKM untuk diguna pakai oleh syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi.

MITI juga telah mewajibkan supaya syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi mesti mengemukakan senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis sahaja. Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan atau thermal scanner serta saringan gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas. Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan untuk rujukan.

Sebagai langkah keselamatan untuk menjamin semua pekerja syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi adalah bebas dari COVID-19, MITI akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di mana pekerja-pekerja diwajibkan menjalani saringan COVID-19. Majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja-pekerja menjalani saringan di lebih 3,000 panel klinik kesihatan PERKESO di seluruh negara mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Industri pembinaan perlu patuh kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Construction Industry Development Board (CIDB):

– syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa yang diperlukan;

– syarikat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam melaksanakan contact tracing pekerja yang telah dijangkiti COVID-19;

– syarikat perlu menyediakan pengangkutan bagi pergerakan pekerja dengan mengamalkan social/safe distancing dan kenderaan yang digunakan perlu dinyah cemar kuman sebelum/selepas digunakan;

– syarikat hendaklah memberikan pemahaman dan garis panduan menangani COVID-19 kepada rantaian nilai mereka;

– sekiranya syarikat menyediakan kemudahan Centralised Labour Quarter (CLQ) untuk pekerja, pihak syarikat perlu memastikan ianya mematuhi Garis Panduan CLQ dan Penginapan Pekerja Binaan Semasa PKP yang dikeluarkan oleh CIDB serta mana-mana agensi yang berkaitan.

Pasukan penguatkuasa yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), CIDB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah diwujudkan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan oleh syarikat yang diluluskan serta mengambil tindakan ke atas syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.

MITI turut bekerjasama dengan PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau aktiviti industri yang wajib patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020.

Kegagalan syarikat mematuhi SOP ini akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berhadapan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa.

Sehingga hari ini, MITI telah menarik balik kelulusan terhadap 4 buah syarikat yang didapati melanggar syarat kelulusan yang telah ditetapkan. Siasatan juga sedang dijalankan oleh JTK Semenanjung Malaysia dan PDRM terhadap 35 syarikat yang telah dilaporkan melanggari syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MITI.

Orang awam boleh membuat aduan sama ada secara terus kepada PDRM atau kepada MITI sekiranya mengetahui sebarang kes pelanggaran SOP di kalangan syarikat.

Langkah pembukaan operasi syarikat-syarikat secara berperingkat dengan syarat-syarat pematuhan yang ketat adalah untuk memastikan:

i. bekalan makanan mencukupi;
ii. bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan mencukupi;
iii. beberapa sektor PKS dan sektor kritikal dapat beroperasi bagi meringankan beban rakyat serta mengurangkan kesan ke atas ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara tumbuh di antara -2 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun 2020. Unjuran ini mengambil kira pelaksanaan PKP selama 4 minggu (sehingga 14 April 2020). Akibat penutupan perkhidmatan bukan keperluan selama 4 minggu, ekonomi negara dianggarkan beroperasi pada tahap 45 peratus operating capacity. Keputusan untuk membenarkan sektor-sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat semasa PKP Tahap 3 akan meningkatkan operating capacity ekonomi negara.

Dengan melaksanakan strategi serampang dua mata, Kerajaan berharap akan dapat memerangi COVID-19 dengan berkesan di samping memastikan ekonomi negara tidak teruk terjejas.

Saya yakin rakyat Malaysia terus tabah dan bersatu padu mendepani cabaran yang amat getir ini.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh, Kami akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orangorang yang berbuat baik.”

Marilah kita berdoa agar ikhtiar ini berjaya dan kemakmuran negara dapat pulih segera selepas pandemik ini diatasi.

Azmin-Ali.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.