Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyatakan kesediaan untuk terus membantu usahawan yang terdiri daripada ahli koperasi dalam penawaran pinjaman kewangan bagi memulakan perniagaan serta mengembangkan perdagangan masing-masing.
Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor berkata, matlamat pihaknya sebagai agensi Kementerian Pembangunan Usahawan yang bertindak menawarkan bantuan dana boleh diperluaskan lagi dengan kerjasama koperasi tanpa mengetepikan mana-mana pihak.
“Kita bukan hanya pergi (beri bantuan) kepada individu namun kita mahu pergi kepada kumpulan, justeru kami mahu melaksanakan kerjasama dengan koperasi bagi membolehkan anggotanya dapat melakukan pinjaman.
“Sebab itu kita menggalakkan koperasi ditubuhkan melalui persatuan bagi membolehkan kita membantu anggota koperasi selain mereka sendiri melakukan kerjasama dengan koperasi yang disertai,” katanya kepada Bernama pada Majlis Pelantikan Penaung Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Tanah Merah di Kelantan, semalam.