TEKUN Nasional perkenal skim pembiayaan bantu usahawan tidak formal

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) telah melancarkan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) dalam usaha membantu usahawan sektor tidak formal yang terjejas ekoran daripada pandemik Covid-19.

MEDAC dalam kenyataan berkata, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan SPIN dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 10,000 usahawan tidak formal.

“SPIN juga dapat menggalakkan usahawan sektor tidak formal untuk mendaftarkan perniagaan mereka di mana bagi membuat pembiayaan ulangan, usahawan diwajibkan membuat pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Nilai pembiayaan SPIN adalah dari RM1,000 sehingga RM5,000. Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga tiga tahun dan kadar keuntungan yang dikenakan adalah empat peratus setahun.

“Inisiatif ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan mikro.

“Melalui bantuan SPIN, anjakan status perniagaan sektor tidak formal ke perniagaan berstatus mikro dan seterusnya kepada kategori yang lebih tinggi akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kemudahan seperti SPIN dapat membantu usahawan sektor tidak formal yang kurang mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Saya berharap dengan pelaksanaan inisiatif ini tiada usahawan yang tercicir di dalam pelan pemulihan usahawan oleh kerajaan terutama usahawan kawasan pedalaman,” ujarnya.

-NIAGATIMES

WanJunaidi.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.