Johor muncul sebagai negeri ketiga tertinggi menerima penyaluran pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di seluruh negara, sekali gus mencerminkan tumpuan berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan usahawan tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei tahun ini, TEKUN Nasional telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM52 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,400 usahawan di negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama sekitar 400 usahawan TEKUN Johor baru-baru ini.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan penerima pembiayaan tersebut, sebanyak 64 peratus terdiri daripada usahawan wanita, sekali gus memperlihatkan penglibatan aktif golongan itu dalam memperkukuh aktiviti ekonomi dan pembangunan perusahaan di negeri berkenaan.
“Dari segi agihan sektor, penerima pembiayaan tertinggi direkodkan dalam sektor perkhidmatan melibatkan 1,183 usahawan, diikuti sektor peruncitan seramai 669 penerima, pembuatan (260), kontraktor kecil (234) serta pertanian dan perusahaan asas tani (54).
“Sebahagian besar penerima pembiayaan TEKUN terdiri daripada usahawan mikro dan komuniti yang memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, keadaan itu selari dengan struktur perusahaan negara yang menunjukkan hampir 80 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro.
“Golongan usahawan inilah yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan berperanan mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan komuniti setempat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada usahawan TEKUN atas komitmen mereka membangunkan perniagaan dan meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing.
Menurutnya, pembiayaan yang disediakan bukan sekadar memberi akses kepada modal, malah bertujuan membantu usahawan meningkatkan penggunaan teknologi, memperkukuh kapasiti operasi serta menambah produktiviti perniagaan.
“Pada masa sama, KUSKOP menyediakan ekosistem pembangunan keusahawanan yang menyeluruh merangkumi akses pembiayaan, latihan serta pembangunan kapasiti melalui pelbagai agensi di bawah kementerian.
“Kemunculan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan infrastruktur serta peningkatan pelaburan dijangka memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi baharu negara,” ujarnya.
Perkembangan itu, katanya, berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan untuk berkembang dan meningkatkan daya saing di peringkat domestik serta antarabangsa.
-NIAGATIMES




















































