Ketika sektor pelancongan mula pulih, Shopee kini menawarkan tempahan hotel melalui kerjasama dengan platform pelancongan digital antarabangsa Agoda dan Booking.com.
Menerusi kerjasama eksklusif ini, pengguna Shopee kini boleh mengakses salah satu inventori atas talian terbesar bagi hotel, resort, rumah dan pangsapuri yang ditawarkan oleh Agoda dan Booking.com.
Perkhidmatan baharu ini diperkenalkan tepat pada masanya demi memenuhi keperluan pengguna, memandangkan perjalanan merentas negeri dibenarkan semula di Malaysia, dan lebih ramai rakyat sedang merancang percutian pada musim hujung tahun ini.
Para pengguna boleh menikmati penjimatan yang lebih menarik serta tawaran pelancongan eksklusif melalui tempahan terus menerusi Shopee. Kerjasama ini juga akan membantu meningkatkan capaian dan keterlihatan rakan-rakan hotel untuk merancakkan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Selain Malaysia, kerjasama ini merangkumi pasaran-pasaran lain: Singapura, Thailand, Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Para pengguna di seluruh rantau dapat mencari dan menempah hotel dengan lancar, serta mendapat pengesahan dengan segera untuk lebih sejuta hotel dan tempat penginapan di seluruh dunia, semuanya melalui aplikasi Shopee.
Ketua Pegawai Operasi di Shopee, Terence Pang berkata, โKami berbesar hati untuk bekerjasama bersama platform pelancongan terkemuka, Agoda dan Booking.com untuk melancarkan perkhidmatan tempahan hotel baharu ini, dengan matlamat menyediakan akses mudah kepada pelbagai produk dan pengalaman pelancongan yang lebih luas untuk pengguna kami.
โKami juga berharap dapat menyokong pemulihan sektor pelancongan tempatan dan industri pelancongan yang berkaitan dengan mempromosikan idea staycation yang menyeronokkan bersama dengan pihak hotel.
โKami menjemput semua rakyat Malaysia untuk melancong dengan selamat dan menikmati penjimatan yang lebih besar dengan menempah percutian melalui Shopee,โ ujarnya.
-NIAGATIMES