Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menggesa ASEAN untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahun ini untuk membentuk kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.
Berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di Bangkok semalam, pengerusi ASEAN itu menggesa semua negara anggota untuk menegaskan semula keazaman mereka untuk memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan.
“Aspek perlindungan yang mengekang sistem pelbagai hala mengingatkan kita bahawa kita mesti bekerjasama dengan lebih erat antara satu sama lain.
“RCEP akan menjadi kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, dan ia dapat menampan kesan daripada konflik perdagangan yang sedang berlaku antara beberapa rakan dagangan utama ASEAN,” katanya.
RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand. – BERNAMA