Tiada halangan industri dan aktiviti ekonomi di Klang beroperasi ketika PKPB

Kegusaran bagi para pemain industri yang menjalankan aktiviti perniagaan di beberapa mukim daerah Klang yang kini diletakkan di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terjawab setelah Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan bahawa tiada sebarang sekatan dikenakan kepada mereka untuk menggerakkan operasi syarikat masing-masing.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengulas perkara tersebut menerusi satu kenyataan media berkata, Sidang MKN semalam telah memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di daerah Klang terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Pihak berkuasa diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja dan rakyat di daerah Klang.

“Kerajaan menyedari bahawa syarikat dan industri termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan serta protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing semenjak kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020,” katanya.

Tambah Azmin, kegagalan syarikat dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan boleh mengakibatkan operasi mereka diberhentikan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa.

“Keputusan kerajaan ini mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti makanan dan minuman, logistik, pengangkutan dan lain-lain lagi,” jelasnya.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.