Isnin, 28 Ogos 2017- Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usahawan yang terlibat
dalam industri halal perlu melakukan penambahbaikan bagi memastikan produk mereka
berkualiti tinggi. Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan mempertingkatkan keupayaan produk halal akan mengekalkan Malaysia sebagai pelopor industri tersebut yang kini menyumbang 7.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau bersamaan RM42 bilion.

“Halal bukan hanya logo dan produk makanan tetapi apabila bercakap tentang halal kita perlu lihat kebolehpasaran produk dan kualiti barangan,” katanya ketika berucap merasmikan ekspo halal terbesar Malaysia, Halal Fiesta (Halfest) ASEAN 2017, di sini hari ini. Katanya, penjenamaan, harga dan keberkesanan strategi pengeluaran perlu diberi perhatian agar produk yang dihasilkan tidak dianggap produk pilihan kedua..

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed dan Timbalannya, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Halfest ASEAN 2017 diunjurkan bakal menjana nilai jualan kira-kira RM6 juta tahun ini
berbanding RM4 juta yang direkodkan dalam penganjuran tahun lalu Penganjuran kali keenam itu akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini di Pusat Pameran dan Persidangan Mines (MIECC). Halfest kali ini disertai lebih daripada 550 pempamer serta 150,000 produk dan perkhidmatan halal yang berinovasi serta berkualiti tinggi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penubuhan Majlis Halal Malaysia memberi perspektif luas terhadap industri halal apabila pihak swasta seperti agensi perbankan yang saling bekerjasama dengan jabatan kerajaan dalam menerokai potensi dimilikinya.

“Saya merasakan usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menjadikan Malaysia sebagai hab halal paling tersohor,
merupakan satu usaha berterusan bagi melihat kolaborasi semua pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru negara ASEAN menghantar lebih ramai peserta ke
Halfest pada masa depan dalam mempromosi produk halal bermutu tinggi yang bukan sahaja sesuai digunakan orang Islam tetapi juga penganut agama lain.

Nama Pengarang: Azrul Hakimie Anuer
Sumber: http://www.utusan.com.my