Tirai pawagam MBO Cinemas dilabuhkan buat selama-lamanya

Rangkaian pawagam tempatan, MBO Cinemas, mengumumkan penamatan operasi secara kekal selepas sekian lama menjadi sebahagian daripada landskap industri hiburan negara.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial rasmi syarikat berkenaan, sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan panjang mereka dalam menawarkan pengalaman menonton filem kepada penonton Malaysia.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan menamatkan operasi dibuat dengan rasa berat hati selepas bertahun-tahun berkhidmat kepada peminat filem di seluruh negara.

“Selepas melalui perjalanan yang luar biasa selama ini, MBO Cinemas akan menutup operasinya secara kekal. Tayangan filem kini telah berakhir,” menurut kenyataan berkenaan.

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada para pelanggan yang setia menyokong pawagam tersebut sepanjang tempoh operasinya.

Menurut MBO Cinemas, setiap detik yang dilalui bersama penonton di dalam dewan tayangan, sama ada sorakan kegembiraan, gelak tawa mahupun saat-saat penuh emosi ketika menonton filem, menjadi kenangan yang amat bermakna buat mereka.

“Ia merupakan satu penghormatan besar untuk kami dapat berkhidmat kepada para penonton dan menjadi sebahagian daripada pengalaman sinematik anda selama ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Pihak syarikat turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan yang pernah mengunjungi pawagam mereka.

“Daripada kami di MBO Cinemas, terima kasih kerana memenuhi tempat duduk kami dan juga hati kami sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Untuk rekod, rangkaian pawagam itu sebelum ini pernah menutup operasinya pada 2020 susulan cabaran yang timbul akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, operasi MBO Cinemas disambung semula pada tahun berikutnya di bawah pengurusan baharu selepas asetnya diambil alih oleh Golden Screen Cinemas.

Sebelum pengumuman penutupan terkini, MBO Cinemas mengendalikan lapan cawangan yang terletak di beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Perak dan Johor.

Penutupan tersebut sekali gus menamatkan peranan salah satu jenama pawagam yang pernah menjadi pilihan penonton tempatan dalam menikmati pengalaman menonton filem di layar besar.

-NIAGATIMES

foto-MBO-Cinemas.jpg