Tourism Malaysia jalin kerjasama dengan Petron, Paynet promosi Cuti-Cuti Malaysia

Tourism Malaysia dengan kerjasama Petron Malaysia (Petron) dan Payments Network (PayNet) menjayakan kempen Peraduan ‘Fuel Penuh Gaya MyDebit Je dengan Kad ATM Anda!’ dalam usaha untuk mempertingkatkan mobiliti rakyat serta menggalakkan rakyat untuk berbelanja dan melancong dalam negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, promosi seperti kempen ini mampu meningkatkan permintaan penggunaan petrol, sekaligus meningkatkan mobiliti orang ramai untuk berjalan-jalan atau melancong dalam negara.

“Data oleh Jabatan Perangkaan pada tahun 2019 menunjukkan bahawa bahan api kenderaan merupakan komponen kedua terbesar dari segi perbelanjaan perjalanan oleh pelancong domestik apabila sebanyak 16.7 peratus daripada jumlah perbelanjaan perjalanan, dibelanjakan untuk bahan api kenderaan.

“Sehubungan itu, promosi seperti kempen bersama Petron dan PayNet ini mampu meningkatkan permintaan penggunaan petrol, sekaligus meningkatkan mobiliti orang ramai untuk berjalan-jalan atau melancong dalam negara,” katanya pada majlis perasmian kempen peraduan tersebut di Stesen Petron NKVE Shah Alam, semalam.

Kempen peraduan akan bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 31 Disember 2020. Orang ramai layak menyertai peraduan dengan hanya membuat pembelian petrol dengan jumlah RM5 minimum menggunakan kad MyDebit ATM di mana-mana 720 cawangan stesen Petron di dalam negara.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.