Tourism Malaysia meneruskan siri jelajah Pantai Timur bagi memperkukuh jalinan kerjasama bersama penggiat industri pelancongan menerusi Sesi Libat Urus yang berlangsung di Hotel AC by Marriott Kuantan, Pahang pada hari ini.
Program ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), serta sebahagian daripada siri libat urus yang berlangsung dari 20 hingga 22 April 2025, merangkumi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada penggiat industri pelancongan di negeri Pahang berkenaan pelbagai inisiatif serta peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekaligus menyokong agenda nasional ke arah kejayaan TMM2026.
Kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta amat penting bagi memastikan Pahang terus berkembang sebagai destinasi pelancongan unggul.
Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai inisiatif yang tersedia.
Antara inisiatif yang dibentangkan dalam sesi ini termasuklah Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN), serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).
Turut membuat pembentangan ialah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN), dan Balai Seni Visual Negara (BSVN), yang berkongsi pelbagai program dan aktiviti untuk tahun 2025.
Sesi ini turut dihadiri oleh Datin Rafidah Idris, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara, Tourism Malaysia; Kamaruddin Ibrahim, Pengurus Besar Tourism Pahang; serta wakil-wakil daripada kerajaan negeri dan sektor pelancongan tempatan.
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan sebanyak 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023. 10 pasaran utama ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan. Bagi tahun 2025 menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion.
-NIAGATIMES