TP, peneraju global perkhidmatan perniagaan digital, memperluas operasinya di Malaysia menerusi pembukaan pusat operasi baharu di Johor Bahru, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab ekonomi digital serantau.
Pusat berkenaan melengkapkan operasi sedia ada TP di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, selain berperanan sebagai hab ‘nearshore’ strategik bagi menyediakan perkhidmatan pengalaman pelanggan, operasi digital dan perkhidmatan hasil kepada pelanggan di Singapura serta Asia Tenggara.
Kedudukannya yang berhampiran Singapura menerusi Tambak Johor memberi kelebihan dari segi jarak, keserasian budaya dan fleksibiliti operasi, termasuk memudahkan aspek pemantauan, latihan serta tadbir urus bagi sektor seperti perbankan, teknologi kewangan, pelancongan dan hospitaliti.
Pusat yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) itu dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat beribu pejabat di Singapura, pusat perkhidmatan perniagaan global (GBS) dan syarikat multinasional yang mengembangkan operasi di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif TP di Malaysia, Andy Rangel berkata, pembukaan pusat berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan syarikat di Malaysia.
“Johor Bahru memberi kami akses kepada tenaga kerja dwibahasa dan pelbagai bahasa yang berkualiti, selain menawarkan keupayaan ‘nearshore’ yang membolehkan perniagaan Singapura mendapatkan fleksibiliti, skalabiliti dan daya tahan operasi,” katanya.
Menurut Kementerian Digital, Malaysia kini mempunyai 749 syarikat GBS dengan hasil industri itu dijangka mencecah RM28.14 bilion pada 2025, mencerminkan kekuatan bakat, infrastruktur digital dan daya tarikan pelaburan negara.
Pusat baharu itu pada peringkat awal akan menyokong sebuah syarikat e-dagang global, selain dijangka berkembang untuk memenuhi keperluan syarikat multinasional dan perusahaan Singapura.
Ia turut menyokong perkembangan perkhidmatan ‘Revenue as a Service TP’ di Malaysia, termasuk operasi jualan dan hasil yang menggabungkan kepakaran tenaga kerja, teknologi serta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI).
-NIAGATIMES




















































