Pengambilan pekerja dalam talian bagi sektor IT berada pada aliran meningkat berikutan transformasi digital yang sedang dilaksanakan di Malaysia, iaitu mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus tahun ke tahun pada Julai, 38 peratus pada Ogos dan 31 peratus pada September.
Menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI) yang disusun oleh portal pekerjaan Monster.com, kerja berkaitan IT dalam bidang perisian, perkakasan dan telekomunikasi menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 37 peratus tahun ke tahun pada Julai, dan permintaan pula meningkat 32 peratus masing-masing pada Ogos dan September.
Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com APAC dan Timur Tengah, Krish Seshadri berkata pertumbuhan dalam industri IT itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk beralih menjadi negara ekonomi digital yang memanfaatkan Industri 4.0.
“Ucapan dalam Belanjawan 2020 Malaysia baru-baru ini memberi tumpuan pada pendigitalan dan teknologi untuk memacu ekonomi kepada era baharu, dan langkah kerajaan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G sebanyak RM50 juta akan memacu pembangunan teknologi dan meningkatkan pengambilan pekerja dalam sektor itu.
“Perniagaan sudah mula beralih kepada e-pengambilan untuk mempercepat pengambilan bakat bagi meningkatkan usaha transformasi digital mereka, selaras dengan langkah transformasi digital Malaysia,” katanya.
-BERNAMA