Kerajaan telah melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (Transkom) sebagai anjakan transformasi kepada Gerakan Koperasi untuk memangkin pembangunan ekonomi Malaysia dengan sumbangan sekurang-kurangnya 5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelancaran Transkom ini amat bertepatan bagi memperkasa dan memperhebat peranan Gerakan Koperasi di Malaysia yang dianggotai oleh lebih 6.1 juta anggota sebagai medium untuk meningkatkan pendapatan dan tahap sosio ekonomi terutamanya dalam kalangan masyarakat berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Gerakan Koperasi sememangnya mempunyai peranan yang penting dan signifikan dalam pembangunan sosio ekonomi negara sejak Pelan Malaysia Pertama 1966-1970, khususnya dalam membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat.
“Ia berupaya melahirkan sebuah masyarakat yang makmur dan sejahtera melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata seluruh anggota Gerakan Koperasi kini siap bersedia menghadapi cabaran ekonomi luar jangkaan, Industri 4.0 di samping komited dalam melaksanakan transformasi secara menyeluruh.
“Transkom akan menyuntik tenaga baharu kepada Gerakan Koperasi khususnya di peringkat akar umbi bagi melakar kejayaan yang lebih gemilang dan seterusnya memperkukuh wibawa untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa,” jelasnya.
Terdapat lima matlamat anjakan transformasi yang disasarkan di bawah Transkom 2021-2025 iaitu, pencapaian matlamat Gerakan Koperasi berteraskan kesejahteraan dan kemakmuran bersama; sistem perundangan dan kawalselia yang membangun dan fasilitatif; modal insan produktif dan berilmu; model perniagaan baharu berteraskan teknologi dan pengetahuan; dan sistem perancangan berasaskan bukti (evidence-based) serta sistem penyampaian dan pemantauan berinovasi dan mesra pelanggan.
-NIAGATIMES