Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) khusus untuk golongan belia yang mengalami kelainan upaya kelolaan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diperhebatkan dari aspek bilangan peserta dan modul latihannya pada masa akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.
Menurutnya, program khusus untuk orang kelainan upaya (OKU) yang telah diperkenalkan sejak 2018 itu kini telah berjaya melahirkan seramai keseluruhan 58 peserta dengan pertambahan jumlah 30 orang direkodkan untuk tahun ini hasil pemilihan dan sesi temuduga melibatkan 111 calon yang disenaraipendek di seluruh Malaysia.
“OKU yang mengikuti program TUBE dikecualikan daripada modul latihan berkaitan fizikal. Sebaliknya, fokus lebih ditekankan kepada bimbingan dan pendedahan modul pembelajaran seperti Literasi Komputer, Kanvas Model Perniagaan, Pemasaran Digital serta Pengurusan Kewangan Perniagaan yang akan ditambah baik dari tahun ke tahun.
“SME Corp juga merancang untuk menyediakan platform susulan yang sesuai sebaik sahaja mereka tamat program TUBE bagi meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing agar lebih berkembang kelak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pembukaan Program TUBE 6.0 2019 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, semalam.