U Mobile mulakan inisiatif transformasi digital GLC pertama dengan FELDA

U Mobile, bakal penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia , telah menandatangani perjanjian dengan FELDA. Perjanjian ini akan membolehkan syarikat telekomunikasi ini memainkan peranan penting dalam menyokong kumpulan tersebut memacu transformasi digitalnya.

Sebagai permulaan, U Mobile akan melaksanakan penyelesaian kesalinghubungan bertaraf perusahaan ke semua pejabat dan cawangan FELDA di seluruh negara. Perkembangan ini akan menyaksikan platform komunikasi tradisional FELDA yang terdiri daripada talian tetap fizikal dinaiktaraf kepada penyelesaian konvergen yang akan membolehkan tahap mobiliti dan kecekapan yang lebih tinggi serta keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.

Penambahbaikan ini akan membolehkan individu yang bekerja di pejabat dan cawangan FELDA di seluruh negara mengakses panggilan suara atau data merentasi tiga peranti melalui satu nombor telefon.

Transformasi ini mendatangkan pelbagai faedah untuk FELDA seperti kecekapan kos dengan menggantikan keperluan talian telefon yang banyak, memberikan perkhidmatan pelanggan yang lebih cekap kerana kakitangan boleh menjawab panggilan tanpa berada di meja mereka, membolehkan untuk berskala kerana pihak FELDA boleh menambah sambungan untuk menampung keperluan perniagaan yang semakin meningkat, serta meningkatkan produktiviti yang lebih tinggi kerana kakitangan boleh bekerjasama dengan lebih efisien.

“Penyelesaian kesalinghubungan ini hanyalah sebagai permulaan kepada apa yang kami anggap sebagai perkongsian berterusan di mana teknologi dan penyelesaian 5G akan menjadi kunci kepada kemajuan FELDA,” kata Neil Tomkinson, Ketua Pegawai Maklumat U Mobile.

“Dengan potensi 5G sebagai penyelesai masalah yang mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti, FELDA yakin bahawa U Mobile akan memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam memenuhi keperluan komuniti kami. Ini juga memastikan FELDA terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi yang pesat berkembang,” Kata Syirfan Indra Mitra Surya Hussin, Pengarah Komunikasi Strategik FELDA.

-NIAGATIMES

U-Mobile-FELDA.jpg