Sempena Sambutan Merdeka ke-68, UM Specialist Centre (UMSC) telah memfokuskan usaha untuk mempertingkatkan kualiti penjagaan kesihatan dengan menjadikan Penjagaan Berasaskan Nilai (VBC) sebagai teras dalam penjagaan pesakit dan tumpuan perniagaan.
Pelancaran tiga inisiatif utama iaitu Klinik Diabetes Pediatrik, wad pintar QWard dan International Patient Centre (IPC) ini merupakan antara penanda aras bagi pencapaian UMSC sebagai sebuah hospital terkemuka dalam penjagaan kuaternari di Malaysia.
UMSC, antara hospital swasta yang terawal di negara ini di bawah naungan Universiti Malaya, ditubuhkan bagi menangani isu brain drain daripada sektor awam dan seterusnya mengekalkan misinya dalam memastikan kecemerlangan dalam perubatan.
UMSC juga diiktiraf sebagai pusat utama dalam penjagaan diabetes kanak-kanak di Malaysia. Klinik pakarnya memberi penghargaan kepada Pasukan Endokrinologi Pediatrik yang diketuai oleh Prof. Dr. Muhammad Yazid bin Jalaludin atas usaha cemerlang mereka dalam meningkatkan kualiti rawatan untuk pesakit kanak-kanak.
Pendekatan ‘value-based care’ yang digunakan, di mana rawatan bukan hanya tertumpu kepada ubat-ubatan sahaja, tetapi merangkumi sokongan menyeluruh. Pasukan ini terdiri daripada pelbagai pakar daripada pasukan pelbagai disiplin yang merangkumi penggunaan teknologi perubatan terkini, panduan pemakanan, serta sokongan psikologi untuk membantu pengurusan diabetes dengan lebih baik.
Selain itu, UMSC telah menjadi contoh terbaik untuk hospital swasta lain dengan memperkenalkan wad pintar sepenuhnya yang dinamakan QWard. Di QWard, pesakit dapat menikmati pengalaman rawatan yang lebih mudah dan selesa.
Malah, UMSC konsisten menerima pesakit dari Indonesia yang mendapatkan rawatan khusus, meskipun jumlahnya sebelum ini agak sederhana. Pada tahun ini, melalui IPC, UMSC telah berjaya memperkukuh kerjasama strategik dan memperluaskan jangkauan perkhidmatan ke pasaran Indonesia. Inisiatif ini telah meningkatkan pendedahan dan kesedaran terhadap jenama UMSC, sekaligus menarik minat yang lebih tinggi daripada pelancong kesihatan dari Indonesia.
Kesemua inisiatif yang dilancarkan hari ini mengukuhkan kedudukan UMSC sebagai destinasi yang dipercayai bagi penjagaan kesihatan yang canggih. Selain daripada kemudahan baru, ia mewakili kesinambungan misi penubuhan UMSC — untuk mengekalkan minda perubatan terbaik Malaysia di tanah air, berkhidmat kepada rakyat kita.
-NIAGATIMES



















































