United Overseas Bank Limited (UOB) dan Grab baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah memeterai satu perikatan strategik bagi mempercepatkan penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan kumpulan pengguna digital ASEAN yang semakin berkembang.
Perikatan ini akan membolehkan UOB menyediakan perkhidmatan kewangan kepada kumpulan pengguna Grab di seluruh ASEAN dan mempercepatkan usaha-usaha Bank untuk memenuhi keperluan pengguna yang ‘mengutamakan mudah alih’ dan ‘hanya menggunakan mudah alih’ yang pantas berkembang di rantau berkenaan. Ia juga akan membuka jalan untuk Grab menawarkan beberapa penyelesaian pembayaran secara terus daripada aplikasinya melalui suit holistik Bank tersebut.
Di bawah perikatan ini, UOB akan menjadi rakan kongsi perbankan pilihan Grab di Singapura. UOB akan turut menjadi rakan kongsi kad kredit strategik untuk Grab di Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam. Pengguna akan dapat menikmati hak istimewa apabila membayar perkhidmatan Grab menggunakan kadUOB mereka. Kedua-dua syarikat akan turut meninjau peluang bagi melancarkan kad-kad kredit berjenama bersama di ASEAN.
Grab akan turut memanfaatkan perkhidmatan pengurusan tunai pihak Bank bagi menyediakan kemudahan kepada pengguna bagi menambah nilai dompet GrabPay mereka secara terus daripada akaun bank mereka. Kaedah tambah nilai baharu ini akan meningkatkan bilangan cara yang membolehkan pengguna menambah wang kepada dompet GrabPay mereka, termasuk menambah nilai melalui kad kredit dan kad debit atau jaringan pemandu, ejen dan peniaga Grab.
Pihak Bank turut bekerjasama dengan Grab untuk membenamkan ciri-ciri Bank Digital akan datangnya dalam aplikasi mudah alih Grab, seraya membolehkan pengguna untuk mengakses perkhidmatan perbankan dengan cepat dan mudah.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, para pengguna akan berupaya menikmati pengalaman perbankan dan pembayaran yang bersifat digital sepenuhnya dan lancar, dari saat mereka memohon untuk membuka akaun sehinggalah untuk mengurus keperluan gaya hidup seharian mereka apabila menggunakan aplikasi ini.
En. Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB, berkata, “Inovasi yang dicipta oleh minda-minda yang pintar telah membantu mengubah kehidupan pengguna, membuka peluang kepada perniagaan mampan dan menghubungkan komuniti dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini. Perikatan kami bersama Grab mewakili dua syarikat yang sealiran memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi mencipta nilai buat pengguna dan bagi memacu akses lebih luas kepada perkhidmatan kewangan di rantau ini. Perikatan ini akan turut melengkapi usaha-usaha kami untuk meluaskan francais pelanggan kami di seluruh ASEAN.”
En. Anthony Tan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Grab, berkata, “Kami teruja untuk mengalu-alukan UOB sebagai rakan kongsi strategik kami di Singapura dan di seluruh rantau ini. Dengan adanya salah satu kumpulan perbankan terbesar di Asia Tenggara untuk berganding bahu dengan kami menonjolkan potensi kumpulan pengguna dan platform Grab untuk memacu kejayaan perniagaan buat rakan-rakan kongsi kami. Dengan menggabungkan kekuatan kami, kami akan menawarkan pengguna dengan perkhidmatan pembayaran yang lebih mudah di seluruh rantau dan membantu lebih ramai individu untuk beralih daripada tunai kepada tanpa tunai.”
Sebagai sebahagian daripada perikatan tersebut, UOB akan turut meninjau sokongan untuk Grab dalam beberapa aspek lain, bermula dengan pembiayaan pengangkutan, penyelesaian pengurusan perbendaharaan serantau dan terpusat, kepada perkhidmatan perbankan di tempat kerja. – PR NEWSWIRE