UOB Malaysia dan Citi Malaysia hari ini mengumumkan bahawa kedua-dua pihak bank telah menerima kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia untuk UOB mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citi di Malaysia.
Berikutan kelulusan tersebut, UOB Malaysia dan Citi Malaysia akan memohon Perintah Letak Hak daripada Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan aset dan liabiliti perbankan pengguna Citi kepada UOB Malaysia. Pengambilalihan ini dijangka selesai pada suku keempat 2022.
Selepas selesai pengambilalihan, semua perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi Malaysia akan dipindahkan ke UOB Malaysia. Semua kakitangan perbankan pengguna Citi Malaysia yang berkaitan dan juga kakitangan sokongannya juga dijangka akan berpindah ke UOB Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, UOB telah bergerak maju ke hadapan seiring dengan perkembangan Malaysia, dan pengambilalihan ini menekankan lagi keyakinan pihaknya terhadap potensi jangka panjang negara.
“Pengambilalihan ini juga akan meningkatkan skala perniagaan runcit kami melalui portfolio dan ekosistem rakan kongsi yang diperluaskan. Selain itu, jangkauan UOB Malaysia kepada pelanggan akan diperkukuh melalui rangkaian cawangan dan titik sentuh (touch point) digital yang lebih luas.
“Kami mengalu-alukan kedatangan rakan sekerja Citi ke keluarga UOB. Bersama-sama, kami akan membangunkan nilai jangka panjang untuk asas pelanggan yang lebih besar di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
-NIAGATIMES