Usahawan-usahawan tempatan yang bernaung di bawah koperasi kluster mikro, kecil dan sederhana bakal menerima manfaat hasil kerjasama yang dijalin oleh Institut Koperasi Malaysia (IKM) dengan Bank Rakyat melalui program baharu ‘Million Ringgit Coop League’ (MiRiCLe).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019, dijelaskan bahawa koperasi yang dikenalpasti memiliki potensi kelak akan mendapat manfaat bimbingan dan latihan mengikut keperluan serta permintaan sewaktu mengikuti program MiRiCLe.
Jumlah peruntukkan RM500 juta oleh Bank Rakyat untuk tempoh 10 tahun akan dikeluarkan berdasarkan kredibiliti koperasi sebagai platform terbaik dalam menangani permasalahan ekonomi dan sosial negara.
Kenyataan yang sama turut memaklumkan koperasi yang berpotensi boleh mendapatkan pembiayaan minimum RM20,000 dan maksimum sehingga RM500,000 pada kadar faedah yang kompetitif jika memenuhi syarat yang ditetapkan.
Kerjasama IKM dan Bank Rakyat tersebut telah dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 yang dirasmikan semalam.