Usaha sama MOTAC, penggiat industri laksana pelan pemulihan pelancongan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengumumkan perincian pelan pemulihan pelancongan bagi merancakkan semula ekonomi negara melalui sektor pelancongan yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC melalui agensinya, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) akan menggerakkan pelan pemulihan pelancongan tersebut melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dengan melibatkan kerjasama penggiat-penggiat industri pelancongan negara.

“Program yang telah dikenal pasti untuk menggerakkan industri pelancongan tempatan adalah dengan melibatkan kerjasama dengan semua pemain industri seperti syarikat penerbangan, pengangkutan dan badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Nancy, beberapa program telah sedia untuk digerakkan seperti kerjasama Tourism Malaysia, MAH dan e-market platform untuk mempromosikan pakej-pakej penginapan bagi menggalakan pelancongan domestik dan membantu hotel-hotel di bandar yang terkesan teruk akibat penularan Covid-19.

“Tourism Malaysia akan menjalin kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan dan syarikat swasta iaitu Prasarana bagi menggalakkan pergerakan inter dan intra di kalangan pelancong domestik dan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Malah, kerjasama dengan MyBHA bagi hotel bajet tiga bintang ke bawah yang terpilih dan aktif mengikut negeri dan keutamaan akan diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan MOTAC melalui kempen ‘Jom Nginap’ dan ‘Malaysia Welcomes You’.

“Selain itu, terdapat juga kempen ‘Cuti-Cuti Malaysia’ dengan kerjasama syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), Firefly, Air Asia dan Malindo Air bagi meningkatkan kesaling hubungan ke lokasi percutian di dalam negara untuk merangsang pelancongan domestik.

“Yang terakhir, kita juga laksanakan Diskaun Pembelian Produk Kraf di Outlet Karyaneka untuk menggalakkan penjualan kraftangan Malaysia,” jelasnya.

-NIAGATIMES

 

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.