Usahawan tidak formal, mikro, kecil dan sederhana diseru untuk memanfaatkan platform digital MyMall di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memulakan serta memperluaskan perniagaan masing-masing berikutan kadar caj yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding platform-platform digital lain yang sedia ada.
Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar berkata, caj kepada usahawan serta pembeli dijamin akan diselaraskan pada kadar yang minimum tanpa kewujudan sebarang caj tersembunyi.
“Susulan kepada percambahan industri ini, wujud pelbagai platform e-dagang di Malaysia yang mengenakan pelbagai caj termasuk caj yang tersembunyi, ibarat mengambil kesempatan di dalam kesempitan.
“Justeru, KUSKOP menggalas tanggungjawab dan komited dalam memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif di negara ini, dengan mewujudkan satu platform digital yang bersepadu.
“Usahawan kelak dapat memperluas pasaran perniagaan mereka dengan kos yang lebih rendah serta menjimatkan kos promosi,” katanya pada Majlis Pelancaran Platform Digital MyMall di Sunway Resort, semalam.
Jelas Noh, MyMall menggabungkan empat platform e-dagang iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan WarongKu.
“Melalui penggabungan tersebut, pengguna yang terdiri daripada usahawan dan pembeli akan lebih mudah untuk mencapai perkhidmatan-perkhidmatan e-dagang di bawah KUSKOP.
“Penggabungan ini bakal mewujudkan pasaran yang lebih luas kepada produk-produk usahawan tempatan yang terlibat serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” ujarnya.
Usahawan yang berminat menyertai MyMall boleh dapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.mymallmalaysia.my.
-NIAGATIMES