Usahawan disaran lebih strategik hadapi ketidaktentuan ekonomi global

Ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini menuntut golongan usahawan dan pemain industri untuk lebih bersedia, strategik serta berdaya tahan dalam memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata landskap ekonomi dunia kini dipengaruhi pelbagai faktor termasuk tekanan inflasi, ketegangan geopolitik, perubahan teknologi yang pantas serta peningkatan kos operasi yang memberi kesan langsung kepada sektor perniagaan tempatan.

Menurut beliau, usahawan masa kini tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan jualan semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian terhadap strategi pemasaran, kedudukan jenama, pengurusan risiko dan kesiapsiagaan perundangan.

“Dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif, visibility menjadi faktor penting untuk memastikan jenama terus diyakini pengguna. Perniagaan yang kekal relevan dan sentiasa dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk berkembang secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Seven Mega Growth Strategies 2026 yang menghimpunkan tokoh korporat, usahawan, pemain industri, wakil diplomatik, media dan komuniti perniagaan tempatan serta antarabangsa baru-baru ini.

Turut hadir pada program tersebut ialah Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa; Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. (Adjung) Hj. Adam Richman serta Datuk Wan Azmir Wan Majid daripada Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Dalam pada itu, Fuziah berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited memperkukuh ekosistem perdagangan domestik dan membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup.

Beliau berkata bagi tahun 2025, kementerian menyasarkan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI di kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dengan pelaksanaan minimum dua kali sebulan.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata platform seperti Seven Mega Growth Strategies 2026 mampu menjadi medium penting dalam memperluas jaringan strategik dan membuka peluang kerjasama antara pemain industri serta komuniti perniagaan antarabangsa.

Menurut beliau, perkongsian ilmu dan networking berkualiti amat diperlukan bagi membantu syarikat tempatan terus berkembang dalam suasana ekonomi yang semakin kompetitif.

Prof. (Adjung) Hj. Adam Richman pula berkata aspek pemasaran strategik, ‘positioning’ dan ‘visibility’ perlu diberi perhatian serius oleh syarikat dan usahawan bagi memastikan jenama kekal relevan dalam pasaran.

Program berkenaan turut menampilkan beberapa sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta aspek kesiapsiagaan undang-undang dalam dunia perniagaan.

Penganjuran program itu dilihat sebagai antara usaha memperkukuh hubungan strategik antara sektor swasta, komuniti antarabangsa dan agensi kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di peringkat global.

-NIAGATIMES