Usahawan diseru kekal positif, manfaatkan pelbagai program keusahawanan MEDAC

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa para usahawan agar sentiasa cekal dan tabah dalam menghadapi apa jua rintangan dalam berhadapan dengan situasi yang mencabar dan tidak menentu pandemik Covid-19 ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan sentiasa komited untuk mendengar, membantu dan menyokong apa jua keperluan yang bersesuaian bagi memastikan para usahawan di Malaysia dapat bertahan dalam kemelut ini.

“MEDAC melalui agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menawarkan konsultasi percuma seperti e-Biz Klinik yang merupakan kaunseling bisnes bersama BizKaunselor secara ‘one on one’ bagi memberi ruang kepada usahawan untuk berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi.

“Agensi-agensi lain di bawah kementerian seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp dan Institut Koperasi Malaysia turut menawarkan latihan dan perkhidmatan ‘coaching’ untuk membantu para usahawan mendapat bimbingan keusahawanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Wan Junaidi, seseorang usahawan itu perlu mempunyai motivasi diri sebagai pendorong dalam membangkitkan semangat yang sedia ada dan perkara ini boleh dijadikan dorongan dengan sentiasa menyemai kata-kata seperti ‘kesulitan itu akan membuatkan kita lebih kuat’ dan ‘kejayaan akan sentiasa bersama orang yang cekal dan tabah dalam menghadapi cabaran’.

“Untuk itu saya menyeru agar para usahawan perlu bersabar dan penuhi masa dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam skil keusahawanan serta memperkuatkan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran global ini.

“Dalam masa yang sama, saya juga menggesa para usahawan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 agar kelangsungan perniagaan dapat diteruskan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dielakkan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Wan-Junaidi.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.