Usahawan-usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan secara francais digesa terus aktif meningkatkan produktiviti perniagaan masing-masing bagi merealisasikan sasaran Malaysia sebagai destinasi negara peneraju hab pilihan di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucaptama pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa 2019 (FIM 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini berkata, sasaran tersebut mampu dicapai melalui pelbagai inisiatif seperti Pelan Induk Sektor Perkhidmatan, Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan, Dana Eksport Perkhidmatan dan Skim Pembangunan Francais.

FIM 2019 kali ini menyaksikan penyertaan antarabangsa dari 13 buah negara antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali, Belanda, Australia, Korea Selatan, China, Thailand dan Singapura.

Progam ini merupakan pameran francais anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang sedang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 April di Dewan 1, KLCC, disertai oleh beberapa syarikat francais ternama tempatan seperti Krista Education Sdn Bhd, MFM Restaurants Sdn Bhd, Coolblog Dessert Sdn Bhd dan banyak lagi.

Wan Azizah ketika menghadiri FIM 2019.jpeg