Usahawan kini boleh dapatkan khidmat nasihat bisnes MeetMe dalam talian

Portal MyAssist MSME, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 30 Jun lalu, merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian ketika negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, MyAssist MSME yang dibangunkan oleh pihaknya dilihat dapat menyuntik nafas baru serta membantu PKS yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Pembangunan portal ini adalah sejajar dengan inisiatif SME Corp. Malaysia di dalam menarik lebih ramai PKS dan usahawan agar mengadaptasi pendigitalan secara tidak langsung,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Rizal, PKS digesa untuk mengadaptasi perniagaan mengikut norma baharu bagi kekal relevan ketika pasca Covid-19.

“PKS perlu memanfaatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan sebagai pemangkin bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan, meningkatkan kemahiran dan keupayaan sumber manusia dan smengukuhkan kedudukan aliran tunai perniagaan,” ujarnya.

Portal MyAssist MSME ini merangkumi empat komponen utama yang mana salah satu komponen utamanya adalah MeetMe.

Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan sistem penyampaian dan capaian bantuan secara khidmat nasihat kepada PKS terutamanya di dalam mendepani kemelut pandemik Covid-19.

MeetMe membolehkan PKS dari seluruh negara mengakses kemudahan khidmat nasihat secara dalam talian memandangkan keadaan semasa yang membataskan pergerakan.

PKS boleh menggunakan platform MeetMe ini bagi mengutarakan pelbagai persoalan kepada Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia seperti topik berkaitan pengurusan kewangan, pemasaran, undang-undang, pembiayaan, eksport, pengurusan tenaga kerja, operasi. pensijilan, penjenamaan, pembungkusan, pengurusan harta intelek dan banyak lagi.

Di dalam fasa permulaan ini, seramai 50 Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia bersedia untuk membantu PKS yang menggunakan platform MeetMe ini menangani isu perniagaan masing-masing secara dalam talian.

-NIAGATIMES

MeetMe-SME-Corp.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.