Usahawan PKS Agrobank terokai pentas e-dagang hadapi normal baharu

Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Agrobank terus mengorak ke hadapan mengadaptasi normal baharu dalam menjalankan perniagaan mereka dengan menerokai platform e-dagang atau secara dalam talian untuk meneruskan kelestarian perniagaan.

Dalam penampilan khas di program Umbi Agro yang diadakan bersempena Bulan PKS Agrobank baru-baru ini, dua usahawan tani; Pengarah Urusan Bismi Cergas Sdn Bhd, Mazlina Kamaruddin dan Pengarah Urusan MHP Enterprise Sdn Bhd, Musleha Zainuddin berkongsi pengalaman peribadi masing-masing.

Kedua-dua usahawan bersependapat mengenai pentingnya bagi penggiat sektor PKS untuk menerokai platform e-dagang sebagai medium perniagaan alternatif khususnya untuk terus bertahan ketika berdepan sebarang krisis seperti penularan wabak COVID-19.

Mazlina berkata, walaupun pada mulanya kelihatan sukar untuk terus bertahan dan meneruskan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia ada hikmahnya tersendiri.

“Pada awalnya, saya tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi (kepada perniagaan) sebaik sahaja PKP diumumkan. Tetapi saya berasa cukup lega apabila kerajaan mengumumkan pengeluaran dan pemprosesan ayam dikategorikan sebagai sektor keperluan dan dibenarkan untuk terus berniaga sepanjang tempoh PKP.

“Oleh itu, kami terus mencari alternatif untuk menjalankan perniagaan yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan dengan mewujudkan platform dalam talian pertama kami iaitu www.ayambismi.com.

“Pelanggan dapat membeli produk kami secara dalam talian di mana mereka boleh memilih untuk mengambil sendiri ayam dari kilang atau dihantar terus ke rumah mereka melalui khidmat penghantaran,” katanya.

Sementara itu, bagi Musleha, pengusaha kuih dan makanan tradisional yang menggunakan jenama Masri berkata, jika sebelum ini beliau lebih selesa menjalankan perniagaan di rumah, tetapi terpaksa mengubah strategi perniagaan dengan menerokai pasaran dalam talian untuk menjual produk makanannya sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

“Pada awal tempoh PKP, saya menjalankan operasi di rumah seperti biasa dan hanya menawarkan khidmat penghantaran produk ke rumah pelanggan, namun atas khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan daripada Agrobank saya ubah strategi dan menerokai platform e-dagang dan menambah ilmu cara menjalankan pemasaran dalam talian.

“Agrobank memberi bimbingan perniagaan cara untuk berniaga secara dalam talian, mengajar cara-cara penulisan untuk membuat pemasaran atas talian dan juga idea untuk mempelbagaikan jenis produk kepada produk yang menjadi keperluan pengguna ketika tempoh PKP dan alhamdulillah hasilnya cukup memuaskan,” katanya.

Musleha turut mengakui sudah tiba masanya untuk usahawan PKS untuk menerokai platform e-dagang secara lebih serius dan mula bergerak seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa selain mempertingkatkan ilmu dan kemahiran untuk berniaga secara dalam talian.

Program-Umbi-Agro.png

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.