Usahawan wanita digalakkan mendafar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memenuhi sasaran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mencapai peningkatan menjadi 50 peratus pada tahun ini.
Menteri KPLB, Datuk Seri Rina Harun berkata, statistik mendapati hanya sejumlah 84,000 usahawan wanita yang berdaftar di bawah kementeriannya dengan 24 peratus daripada bilangan tersebut sahaja yang telah berdaftar dengan SSM.
Beliau berkata ada kalangan usahawan wanita ini yang enggan mendaftar dengan SSM kerana khuatir apabila berbuat demikian, mereka tidak lagi akan menerima bantuan.
“Jadi minda mereka ini harus dibuka, supaya mereka dapat berniaga lebih jauh lagi,” katanya selepas merasmikan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Selangor di Sepang, baru-baru ini.
Menurutnya kesedaran harus ditingkatkan di kalangan usahawan wanita supaya mereka menjadi usahawan yang berjaya, malah sehingga mencapai status jutawan, dan bukan fokus kepada pendapatan hanya sekitar RM100 sebulan.
Sementara itu Rina berkata KPLB akan berusaha mempromosi produk-produk seni kraftangan berbentuk anyaman dan tekat, yang sudah wujud di Malaysia sejak sekian lama namun tidak diperkasakan.
Beliau berkata, faktor seni kraftangan yang mendapat permintaan khususnya di platform e-dagang perlu diberikan perhatian dan beliau seterusnya menyeru supaya lebih ramai wanita dilatih untuk mempromosi seni kraftangan berkenaan.
-BERNAMA