Velotrade Hong Kong peroleh dana dan jalin kerjasama dengan Vynn Capital

Velotrade, peneraju kewangan perdagangan yang semakin berkembang dengan ibu pejabat di Hong Kong, telah memperoleh dana dan menjalin kerjasama dengan Vynn Capital, firma modal teroka berfokuskan Asia Tenggara dengan pelaburan yang terkenal seperti Carsome dari Malaysia dan Travelio dari Indonesia.

Velotrade mengendalikan platform digital yang memadankan syarikat-syarikat korporat yang memerlukan modal kerja dengan pelabur-pelabur institusi yang bersedia memberikan pendahuluan dana. Menerusi pembiayaan serta perkongsian baharu dengan Vynn Capital ini, Velotrade merancang untuk meningkatkan infrastruktur teknologinya dan berkembang ke geografi baharu di Asia Tenggara.

Velotrade, dilancarkan pada tahun 2017, sejak itu memberi pembiayaan jangka pendek invois belum lunas kepada beribu-ribu syarikat korporat termasuk syarikat Fortune 500 serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menunjukkan keperluan segera untuk pembiayaan pembekal.

Dengan ekosistem pelanggan yang semakin berkembang, Velotrade terus menambah produk ke dalam penawarannya dan sangat aktif dalam pembiayaan e-dagang, pembiayaan pesanan belian, pinjaman eksport dan sebagainya.

Melalui perkongsian dengan Vynn Capital, Velotrade akan meningkatkan lagi operasinya dan berkembang ke Malaysia dan pasaran-pasaran lain di Asia Tenggara.

Selain daripada pembiayaan, Vynn Capital akan menyumbang kepakaran pembinaan syarikat dengan aktif dan menyediakan akses kepada jaringan sumber yang luas di Asia Tenggara kepada Velotrade.

Pengerusi Eksekutif dan pengasas bersama Velotrade, Vittorio De Angelis berkata, pihaknya sangat gembira untuk bekerjasama dengan Vynn Capital dalam meneroka pasaran baharu.

“Perkongsian ini akan membantu kami memperluas jangkauan geografi kami dan mengukuhkan lagi kehadiran kami di Malaysia dan seluruh pelosok Asia Tenggara.

“Apabila memilih rakan kongsi, amat penting memiliki sinergi untuk mengeksploitasi dan dua firma kami ada banyak untuk dikongsikan bersama,” katanya.

-NIAGATIMES

Velotrade.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.