Visi dan misi baharu kukuh komitmen Bank Rakyat sebagai bank koperasi

Bank Rakyat mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota, pelanggan dan negara menerusi pelancaran misi dan visinya yang baharu.

Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, visi terbaharunya kini ialah ‘Bank Koperasi Islam Progresif Nombor 1 di Malaysia’ manakala misi terbaharu ialah ‘Memacu kemakmuran ekonomi anggota, pelanggan dan negara bangsa’.

“Pelancaran misi dan visi baharu ini merupakan salah satu inisiatif jangka panjang Bank Rakyat bagi mengukuhkan kedudukan agar kekal relevan dengan keperluan semasa yang menuntut setiap organisasi menjadi lebih inovatif dan dinamik untuk maju ke hadapan.

“Selain itu, inisiatif ini juga adalah sejajar dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk menghidupkan semula sektor koperasi dan keusahawanan melalui spektrum pendigitalan, inovasi dan teknologi, yang mana amat penting bagi membantu sektor ini pulih dalam persekitaran pandemik Covid-19,” katanya, baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, visi baharu ini adalah bertepatan kerana Bank Rakyat yang telah berkembang menjadi sebuah institusi kewangan yang disegani di Malaysia.

“Saya turut berpendapat bahawa misi baharu ini adalah yang terbaik dan bersesuaian dengan mandat Bank Rakyat dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya dengan menyediakan solusi perbankan yang efektif dalam memberi nilai tambah dan impak positif kepada komuniti serta pihak berkepentingan bank,” ujarnya.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.