Meneraju pucuk pimpinan dengan kuasa tertinggi sebagai menteri bukanlah sesuatu yang mudah seperti disangka. Lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan kementerian yang diletakkan harapan menggunung oleh jutaan rakyat. Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, 63, ketika diberi mandat menjawat jawatan sebagai menteri bagi ‘kemunculan semula’ portfolio Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yang pernah dihapuskan sebelum ini pada April 2009, telah dianggap sebagai individu paling sesuai menggalas tanggungjawab tersebut berikutan prestasi memberangsangkannya sepanjang penglibatan aktif bergelar ahli perniagaan berpengaruh selama lebih tiga dekad.
Selepas mengetuai kementerian genap tempoh setahun pada tanggal 2 Julai 2019 yang lalu, perubahan demi perubahan telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh Datuk Seri Redzuan. Tidak keterlaluan dikatakan sinar pembangunan keusahawanan yang dahulunya seakan-akan suram, kini kembali bergemerlap. Paling membanggakan sudah tentunya pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
NiagaTimes baru-baru ini berkesempatan mengadakan sesi wawancara eksklusif bersama-sama beliau yang mesra disapa sebagai ‘Pak Wan’ bagi membincangkan visi merealisasikan DKN 2030, iaitu harapan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.
Laksana segera dasar
Enggan menoleh ke belakang, Redzuan mahukan DKN 2030 dilaksanakan secepat yang mungkin. Malah menurut beliau, tahun 2020 dianggap sebagai tahun yang bertepatan bagi memulakan visi tersebut dengan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dinamakan sebagai tunjang yang mampu menjadi pemangkin untuk menjayakannya.
“Harapan saya sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada MED sudah pastinya melaksanakan dasar yang telah kita lancarkan. Segala perincian dan inisiatif telah dinyatakan dengan jelas di dalam buku DKN 2030. Itu harapan saya pada 2020 dan ia mesti segera dilakukan kerana kita telah tetapkan fungsi sebagai pemudahcara kepada PKS untuk mencapai sasaran 41 peratus sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun ini. Angka ini kelak akan menjadi penanda aras bagi sasaran seterusnya iaitu melebihi 50 peratus menjelang 2030,” ujar beliau.
Penjenamaan semula kementerian
Pada masa yang sama, Redzuan turut menegaskan betapa pentingnya pelarasan dilakukan terhadap setiap aktiviti pembangunan usahawan dan juga PKS. Beliau memberi contoh salah satu perancangan terdekat kementeriannya ialah menjenamakan semula MED kepada nama baharu melibatkan penambahan nama koperasi untuk mengukuhkan peranan serta gerakan ekonomi ke arah DKN 2030.
“Kita sebenarnya sudah pun memulakan inisiatif-inisiatif pelarasan dengan di antaranya yang terkini adalah membuat penambahbaikan koperasi untuk menggerakkan ekonomi. Koperasi yang merupakan agensi di bawah MED akan dijenamakan semula kepada nama yang baharu bersama-sama kementerian. Setakat ini, kita masih menunggu maklum balas daripada kementerian-kemeneterian yang lain untuk jenamakan semula MED sebagai MEDAC.
“Itu antara realiti baru yang kita bawa untuk menyedarkan kepada masyarakat iaitu tanggungjawab dan fungsi kementerian ini melibatkan ekonomi yang begitu besar dari segi penggerak ekonomi itu sendiri iaitu koperasi,” katanya.
Sasar perubahan ekosistem dan minda usahawan
Sesebuah dasar yang digerakkan tidak mampu dicapai jika hanya satu pihak sahaja yang bersungguh-sungguh mahu menjayakannya. Oleh yang demikian, Redzuan melihat kejayaan DKN 2030 ini kelak akan bergantung kepada respons dua pihak iaitu daripada kementerian dan usahawan sendiri dengan kedua-duanya perlu saling memberi dan menerima.
“Suka untuk saya sebutkan sekali lagi, bahawasanya fungsi utama MED adalah untuk memberi kesedaran, mengadakan perubahan minda dan budaya supaya golongan usahawan sedia ada atau masyarakat kita lebih berdaya saing, lebih berani dan lebih berkeyakinan untuk menceburi bidang keusahawanan daripada mengharapkan pekerjaan semata-mata. Ia bukan perkara yang mudah. Tetapi saya percaya dengan adanya agensi-agensi yang diletak di bawah kementerian, agenda ini mampu dilaksanakan secara keseluruhan.
“Dalam haluan DKN 2030, kita mahu wujudkan ekosistem yang boleh memberi keyakinan kepada usahawan supaya lingkungan persekitaran mereka akan lebih jelas dan mereka tahu perkara yang sepatutnya mereka ceburi. Sebagai contoh, berapa ramai usahawan pada hari ini yang sedar akan saiz industri halal, aeroangkasa, pengangkutan udara, koperasi, pemborongan atau peruncitan yang secara tidak langsung ataupun langsung sebenarnya boleh menurunkan kos sara hidup? Itulah pendedahan yang mahu kita bawa. Jadi kalau adanya kesedaran begitu, saya rasa MED dalam sudut mengukur kelak akan dapat satu gambaran yang jelas,” ulasnya dengan penuh semangat.
Inisiatif terbaharu perkasa usahawan
Di akhir sesi wawancara, Redzuan sempat berkongsi inisiatif yang telah dirancang kementeriannya khusus untuk golongan usahawan sepanjang tahun ini yang turut selari dengan objektif DKN 2030.
“Khabar gembira untuk usahawan? Ada. Terpulang kepada usahawan itu sendiri untuk rebut peluang yang kita sediakan. Kalau dilihat pada DKN 2030 itu sendiri, MED telah masukkan beberapa strategik teras dengan lebih 60 inisiatif yang kita bawa. Terdapat beberapa industri serta sektor strategik yang kita mahu bantu usahawan itu sendiri seperti aeroangkasa, pengangkutan udara, pertanian, industri halal dan pelbagai lagi yang telah dibukukan di dalam dasar itu sendiri.
“Selain itu, ada sedikit pindaan terhadap Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan sebelum ini kerana kerajaan mahu memahami secara lebih teliti akan dasar yang ingin kita laksanakan. Jadi perlunya ada perubahan sedikit sebanyak dalam perbelanjaan itu sendiri. Memang ada dah keputusan Kabinet, Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk meminda dan memberi bajet tambahan yang kini sedang kita perhalusi lagi. Kita telah tahu jumlahnya namun justifikasinya perlu dilakukan menurut dasar sebelum diagih-agihkan ke agensi atau sektor yang bersesuaian,” ujar beliau mengakhiri perbualan.
Semoga visi ini mampu direalisasikan kelak demi kemakmuran bersama.
Untuk Pak Wan, selamat maju jaya diucapkan daripada kami di NiagaTimes!