Volvo lancar EX30 Cross Country, SUV elektrik lasak bermula RM218,888

Volvo Car Malaysia hari ini memperkenalkan Volvo EX30 Cross Country, SUV kompak elektrik sepenuhnya yang menggabungkan keupayaan pemanduan bandar dengan ciri lebih lasak untuk pengembaraan luar.

Model pemasangan tempatan itu ditawarkan pada harga bermula RM218,888 tanpa insurans dan menjadi model Cross Country elektrik sepenuhnya pertama Volvo, dengan tiga pilihan warna iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.

Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia dan Thailand Chris Wailes berkata EX30 Cross Country dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna yang mahukan kenderaan praktikal bagi kegunaan harian, selain mampu menyokong aktiviti hujung minggu.

“EX30 Cross Country bukan sekadar sebuah kereta, sebaliknya memberikan kebebasan kepada pengguna untuk meneroka dengan lebih yakin,” katanya.

Dikuasakan sistem motor berkembar elektrik, model itu menghasilkan 428 kuasa kuda dan tork 543 Nm, membolehkannya memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam dalam 3.7 saat.

SUV berkenaan turut menawarkan jarak perjalanan sehingga 437 kilometer berdasarkan WLTP, manakala bateri NMC 69kWh boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam 27 minit menggunakan pengecas pantas DC 175kW.

Bagi meningkatkan keupayaan di laluan mencabar, EX30 Cross Country mempunyai jarak lega tanah 19 milimeter lebih tinggi berbanding EX30 standard, selain casis yang ditala semula dan rim 19 inci.

Dari aspek keselamatan, ia dilengkapi Safe Space Technology, Sistem Pemahaman Pemandu serta ciri bantuan pemanduan seperti Pilot Assist dan Park Pilot Assist.

Kabinnya menampilkan kemasan berasaskan bahan bertanggungjawab termasuk tekstil denim kitar semula dan Nordico berasaskan bio. Sistem infotainmen Google terbina dalam, skrin 12.3 inci serta audio Harman Kardon Premium Sound turut disediakan.

Bagi 100 pembeli terawal, Volvo menawarkan rebat tunai RM12,000 bersama Volvo Wallbox, Load Carrier dan Roof Basket secara percuma.

Sementara itu, EX30 Ultra MY27 kini ditawarkan pada harga bermula RM198,888.

Volvo Car Malaysia turut memperkenalkan Digital Service Booking yang membolehkan pelanggan menempah slot servis melalui laman web syarikat atau aplikasi Volvo Cars.

-NIAGATIMES

new-VOLVO-1.jpg