Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengumuman ini merupakan langkah yang tepat bagi membantu usahawan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menggerakkan kembali perniagaan mereka dalam tempoh yang mencabar ini.
“PMKS yang berjumlah lebih 1.15 juta pada tahun 2020, memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, di mana ianya menyumbang kepada hampir separuh guna tenaga di negara ini iaitu sebanyak 7.3 juta orang.
“Oleh itu, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung Ekonomi Rakyat dan Kelangsungan Perniagaan amatlah bertetapatan di mana keputusan ini bakal memberi sinar kepada usahawan yang mengusahakan industri makanan khususnya restoran atau kedai makan juga kepada usahawan yang menjalankan perniagaan pelancongan seperti inap desa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Wan Junaidi, kelonggaran kepada penerima vaksin yang lengkap dua dos diharapkan dapat menyuntik kembali sektor keusahawanan negara di mana PMKS amat bergantung kepada sokongan rakyat dan pelanggan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka hidup.
“Tidak dinafikan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi atau ‘ramping-up the vaccination rate’ sudah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan.
“Terbukti rakyat menyahut panggilan dan menyambut baik seruan kerajaan ini untuk menerima vaksinasi. Adalah diharapkan PMKS tidak terkecuali daripada mendapatkan vaksinasi ini,” ujarnya.
Dengan pengumuman ini diharapkan usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini.
-NIAGATIMES