Warongku jadi platform 3,500 usahawan mikro lonjak bisnes

Program Pembangunan Penjaja dan Peniaga Melalui Smart Digital Terminal di bawah nama Warongku anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya SME Corporation Malaysia (SME Corp) telah dilancarkan secara rasmi, semalam.

Menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya dan SME Corp telah memperuntukkan RM3.11 juta bagi membantu pendigitalan perniagaan melalui Warongku yang bakal memanfaatkan kira-kira 3,500 usahawan.

“Daripada jumlah ini, seramai 2,000 penjaja dan peniaga kecil telah menyertai platform ini sebagai pedagang dalam talian, manakala tambahan penyertaan seramai 1,500 lagi sedang dilaksanakan,” katanya.

Tambah Wan Junaidi, Warongku juga merupakan kesinambungan kepada projek penghantar dalam talian iaitu Warong Rider yang dilaksanakan oleh pihak Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB) dengan ilham dan kerjasama pihak Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) yang disokong oleh SME Corp menerusi Program Micro Connector.

“Program Warong Rider ini juga disokong oleh TEKUN, satu lagi agensi kementerian melalui Skim TEKUN Mobilepreneur yang menyediakan pembiayaan sehingga RM10,000.00 bagi pembelian motosikal, pembaikan motosikal dan pemasangan aksesori tambahan,” jelasnya.

Program Warongku direka dengan objektif untuk meningkat dan melonjakkan pendapatan usahawan mikro dan usahawan informal serta penjaja dan peniaga kecil melalui jualan dalam talian dan memberi kesedaran serta menggalakkan penggunaan aplikasi digital di kalangan mereka untuk pemasaran yang lebih luas dan transaksi yang lebih bersistematik.

-NIAGATIMES

Che-Ta-MEDAC-Warongku.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.